
SATU ketika dahulu, nama pemain import dari Bahrain, Habib Haroon antara yang paling lantang dikecam oleh penyokong skuad Terengganu FC (TFC).
Semuanya gara-gara Habib dilihat gagal mengawal bahagian tengah dengan baik dan ramai yang runsing melihat corak permainan pemain itu dalam perlawanan sebelum ini.
Malah, ada peminat yang sudah memberi cadangan kepada TFC untuk mencari pemain tengah lain bagi menggantikan Habib ketika jendela kedua perpindahan pemain.
Namun, perlawanan yang menyaksikan skuad penyu mengalahkan KL City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu menyaksikan jalan cerita yang sebaliknya.
Ini kerana selain Manuel Ott, Habib juga adalah pemain yang menjaringkan gol pada malam tersebut sehingga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Habib Haroon dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. — Facebook/Terengganu FC
Disebalik kritikan yang diterimanya dahulu, Habib kini mula mendapat kepercayaan penyokong TFC dan diminta untuk terus membuktikan kemampuan kepada pengkritiknya sebelum ini.
Seorang penyokong TFC, Mat Jenin berkata, Habib mempunyai kawalan permainan dan kawalan bola yang sangat baik.
"Habib dah main bagus, cuma ada beberapa kesilapan. Tetapi kesilapan itu dibalas dengan bantuan dan menyelamatkan ruang pertahanan daripada bolos. Selama ini dia (Habib) dikritik sehinggalah berjaya menjaringkan gol.
"Tapi percayalah, diam pengkritik ini hanya seketika. Teruskan memberi persembahan yang terbaik supaya pengkritik kesal dengan apa yang diberitahu sebelum ini. Harap perlawanan menentang KL City FC bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk menjadi yang lebih baik selepas ini," katanya.
Man Bundles pula berkata, Habib memang layak mendapat pemain terbaik perlawanan dan momentum itu perlu diteruskan termasuklah melibatkan pemain TFC yang lain.
Sebahagian daripada pemain Terengganu FC meraikan kemenangan ke atas KL City FC. — Facebook/Terengganu FC
Seorang lagi penyokong TFC, Syuk Kasyah berkata, sebelum ini ramai yang marah kepada Habib disebabkan corak permainannya.
"Harap Habib kekalkan sikap rajin berlari. Sebelum ini asyik jalan 'ayam katik serama' sahaja lepas itu hantar bola ke belakang. Sebab itu orang marah.
"Tapi dalam perlawanan ini Habib rajin berlari dan bantu pertahanan. Boleh tingkatkan persembahan tapi untuk permainan menentang KL City FC, memang layak dapat pemain terbaik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram