Selamat tinggal Endrick, ibarat 'kuyu' bermain dengan 10 pemain


  • Podium
  • Khamis, 23 Jun 2022

Sebahagian daripada aksi pemain Penang FC ketika bertemu TFC dalam perlawanan pada Rabu. — Facebook/Penang Football Club

SELEPAS mengharungi 10 perlawanan dalam Liga Super, Penang FC yang kini menduduki tangga tercorot dalam liga akhirnya berjaya menemui kemenangan selepas membenam Terengganu FC (TFC), 2-1 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Rabu.

Kemenangan yang diraih Penang FC setelah sekian lama tetap disambut positif oleh penyokong serta pujian diberikan kepada semua pemain.

Seorang penyokong skuad Harimau Kumbang, Mohamad Afi Naiman berkata, para pemain akhirnya beraksi dengan cukup baik selepas dikecam sebelum ini.

288999096_449830263636446_414957813184189598_n

Pemain Penang FC memegang jersi rakan sepasukan, Casagrande yang tidak dapat beraksi kerana perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan keretakan tulang pipi kanan. — Facebook/Penang Football Club

Malah, beberapa pemain seperti Khairul Akmar, Rafael Vitor, Shukri Hamid antara pemain yang dipuji kerana kesungguhan dan usaha keras mereka dalam perlawanan tersebut.

"Hilal Al-Helwe juga seperti yang dijangka, boleh menjadi mesin gol kalau dia mempunyai pemain tengah yang boleh membuat hantaran bola kepadanya.

"Cuma selama ini nampak macam dia sendiri yang perlu buat kerja sendiri untuk menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, Mohamad Afi Naiman turut menganggap kemenangan Penang FC ibarat 'kuyu' yang bermain dengan 10 orang.

289351919_449840103635462_4893923231666877920_n

Aksi Endrick selaku kapten pasukan mendapat kritikan penyokong. — Facebook/Penang Football Club

Perkara itu katanya kerana, kapten pasukan Penang FC, Endrick umpama tiada fungsi dalam pasukan terutamanya pada separuh masa pertama.

"Separuh masa kedua nampaklah ada usaha sikit tetapi itu pun tak cukup. Berapa kali hilang bola, berapa kali buat hantaran yang lemah.

"Selaku kapten pasukan, dia yang sepatutnya membina semangat rakan-rakan dalam pasukan," katanya.

Kami bukan glory hunter, menang puji kalah maki

Kemenangan Penang FC juga dianggap Mohamad Afi Naiman sebagai satu kesungguhan yang dipamerkan para pemain.

"Kalah menang itu adat, tapi macam mana pasukan itu kalah penyokong boleh nilai. Kalah melawan dan main dengan jiwa, penyokong tidak akan marah.

288964202_449851450300994_3127361405550382055_n

Sebahagian daripada penyokong yang setia bersama Penang FC. — Facebook/Penang Football Club

"Kami bukan glory hunter, menang puji kalah maki. Kalah itu dah sinonim dengan Penang berbelas tahun.

"Tapi corak permainan dan kesungguhan yang kami nak tengok. Pada Endrick, selamat tinggal. Dia cuba tapi usahanya masih belum mencukupi," katanya.

Tambahnya, semangat pemain dalam perlawanan itu sepatutnya dipuji penyokong dan berharap kemenangan itu satu permulaan dan bukan sekadar mimpi indah yang seketika.

Menerusi perlawanan pada Rabu, dua gol dijaringkan pemain Penang FC, Hilal El-Helwe pada minit ke 23 dan gol kedua pula oleh Saravanan Thirumurugan ('50).

TFC pula sekadar berpuas hati dengan satu gol yang dijaringkan oleh Faisal Halim pada minit ke 48— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram