Pengunduran TMJ petanda kejatuhan JDT?


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Ramai penyokong prihatin dengan nasib JDT selepas ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

PENGUMUMAN Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim behubung pengunduran baginda daripada urusan harian kelab Johor Darul Takzim (JDT) pada Khamis ternyata memberi kejutan kepada ramai pihak termasuk penyokong Harimau Selatan.

Menyerahkan semua urusan harian kepada pengurusan tertinggi kelab, ramai peminat bola sepak tempatan turut prihatin dengan nasib pasukan itu selepas ini.

Berkongsi pandangan menerusi komen dalam hantaran di Johor Southern Tigers, pemilik akaun Melvin Spencer turut mengakui bahawa sukar buatnya untuk melihat TMJ meninggalkan JDT.

TMJ komen

Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan bagaimana jika TMJ meninggalkan JDT sepenuhnya, ia mungkin menjadi petanda kejatuhan kelab tersebut dalam jangka panjang.

"Teruskan usaha JDT, sukar sebenarnya untuk melihat TMJ meninggalkan Harimau Selatan kerana memikul tanggungjawab daam kerja lain.

"Saya tidak dapat bayangkan jika TMJ meninggalkan kelab, ia akan menjadi permulaan kepada kejatuhan Harimau Selatan, sungguh menakutkan untuk masa depan JDT selepas ini," katanya.

Tambahnya lagi, meskipun risau mengenai masa depan JDT, dia percaya bahawa TMJ akan sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa pasukan memandangkan dia masih pemilik kelab tersebut.

Jelasnya lagi, hal itu berdasarkan pengumuman TMJ yang mengatakan bahawa baginda hanya menyerahkan urusan harian untuk ditadbir oleh pengurusan tertinggi.

"Saya terbaca di hantaran TMJ, JDT masih miliknya dan baginda memberi orang lain mengendalikan pengurusan harian kelab.

"Semoga TMJ akan kembali ke JDT suatu hari nanti," ujarnya.

TMJ mengambil alih pasukan sejak 2012 dan melakukan transformasi kelab bola sepak itu dan sukan berkenaan di Johor khususnya.

Sepanjang tempoh hampir 10 tahun, Harimau Selatan meraih pelbagai kejayaan demi kejayaan selepas memenangi gelaran Liga Super pada 2014.

Sejak itu, gelaran Liga Super sebagai perlawanan paling berprestij di Malaysia tidak pernah berpindah tangan apabila JDT muncul juara saban tahun bagi lapan musim berturut-turut.

Kejayaan JDT pada 2015 juga antara yang tidak boleh dilupakan ketika pasukan kendalian Mario Gomez ketika itu memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi kelab pertama tanah air memenanginya.

Baru-baru ini, JDT sekali lagi mengukir nama di pentas antarabangsa selepas muncul pasukan pertama di Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram