SKUAD Harimau Malaya bermula langkah kanan apabila menewaskan Turkmenistan dengan kemenangan bergaya 3-1 dalam aksi Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu malam.
Malaysia berjaya mencetak gol pertama menerusi rembatan Safawi Rasid yang menyudahkan bola muntah daripada dakapan penjaga gol lawan pada minit ke-11.
Pemain sayap lincah, Faisal Halim berjaya menggandakan kelebihan tuan rumah yang merembat deras bola ke dalam gawang lawan ketika berada dalam kawasan kotak penalti lima minit kemudian.
Pemain warisan negara dengan rekod cemerlang bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Corbin Ong pula mencetak gol ketiga Malaysia menerusi larian solo dari tengah padang sebelum menerjah gawang lawan dengan satu rembatan padu pada penghujung babak pertama.
Di sebalik tiga jaringan itu, Harimau Malaya tetap dibayangi kesilapan kecil tiga tonggak pasukan itu yang dianggap tidak sepatutnya berlaku sedemikian.
Kesilapan pertama berpunca daripada penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok yang gagal menyudahkan gol mudah ketika bola terhidang betul-betul di depan pintu gawang.
Darren dilihat sekadar menguis bola itu dengan kakinya sedangkan dia sepatutnya memberi satu percubaan tajam terus ke pintu gol bagi membolehkan Malaysia berada dalam kedudukan lebih selesa.
Selain itu, kelekaan skuad kebangsaan yang mendahului 2-0 pada awal babak pertama menyaksikan pertahanan negara sedikit goyah apabila penyerang lawan, Annadurdyyev Altymyrat berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-38.
Pemain pertahanan, Shahrul Saad gagal menolak keluar bola yang menyaksikan satu gerakan ke gawang dilakukan pemain Turkmenistan hingga menyebabkan keadaan kucar-kacir di hadapan pintu gol Harimau Malaya.
Ketika itulah, Dion Cools melakukan kesilapan kecil apabila tertanduk bola ke belakang dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias hingga Turkmenistan berhasil mencetak gol pertama mereka menerusi Annadurdyyev yang mudah menolak masuk bola.
Jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyyew mengakui kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik terutamanya apabila ia merupakan aksi kompetitif pertama selepas pandemik Covid-19.
Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pula jelas gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya menepati sasaran awal untuk membawa pulang tiga mata berharga, sekali gus menjadi tonik terbaik menghadapi baki dua lagi aksi kumpulan selepas ini.
"Saya sangat berbangga dengan seluruh pasukan, penyokong terutamanya Ultras Malaya yang membanjiri stadium.
"Ia memang satu permulaan yang bagus terutamanya apabila berjaya meledak tiga gol awal pada babak pertama, ia sedikit sebanyak meredakan sedikit tekanan.
"Saya juga enggan memikirkan pertemuan berdepan Bahrain selepas ini, apa yang penting kami mahu enjoy dulu kemenangan malam ini (menewaskan Turkmenistan)," kata Pan-gon.
Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan, Faisal Halim yang mesra disapa Mickey mengakui cukup sebak apabila berjaya meledak gol sulungnya di pentas antarabangsa.
"Pada mulanya saya ingin merembat ke arah kanan, namun tiba-tiba mengubah keputusan pada saat-saat akhir.
"Melihat bola menerjah jaring, ia satu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Kemenangan ini untuk isteri, anak dan seluruh rakyat Malaysia," kata Faisal dengan linangan air mata sejurus selepas perlawanan.
Selepas Turkmenistan, Malaysia akan bertemu pasukan pilihan, Bahrain pada 11 Jun sebelum berdepan Bangladesh (14 Jun) bagi aksi penutup tirai saingan Kumpulan E.
Dalam perlawanan berasingan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada petang Rabu, Bahrain turut menang selesa 2-0 ke atas Bangladesh menerusi jaringan Ali Abdula Haram dan Komail Hasan al-Aswad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram