Peminat tumpang bangga, Arif Aiman kini diintai 15 ejen luar negara


  • Podium
  • Khamis, 09 Jun 2022

Arif Aiman (kiri) dilaporkan berjaya menarik minat 15 pemerhati bakat berpangkalan di Sepanyol. — Facebook

BINTANG muda sensasi skuad Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini dianggap sebagai pemain muda paling berjaya negara apabila dia dipercayai menarik minat sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat (scout) yang berpangkalan di Sepanyol.

Konsistensi dalam setiap perlawanan yang ditampilkan pemain berusia 20 tahun ini pastinya menjadi sebab utama dia berada dalam radar beberapa ejen yang berpangkalan di luar negara.

WhatsApp Image 2022-06-08 at 5.29.02 PM

Info yang dikeluarkan oleh pihak We Are Scouting tentang Arif di Twitter.

Laman Twitter We Are Scouting, telah memuat naik info tentang pemain sayap pasukan JDT yang berjaya membantu pasukannya melangkah ke pusingan kalah mati dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2022 (ACL) pada bulan lalu.

"Seorang bakat unik dari Malaysia yang berjaya menarik perhatian pasukan 'scouting' kami, selepas beraksi cemerlang di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.

"Seorang pemain sayap muda dari Malaysia yang merupakan 'provider' yang sangat baik sehingga mampu memberi umpanan kepada penyerang," tulisnya.

Arif Aiman sudah berjaya menembusi kesebelasan utama JDT serta membuat 14 penampilan dengan melakukan tujuh 'assist' bersama pasukan Harimau Selatan itu.

Disebabkan itu, peminat bola sepak khususnya penyokong JDT turut berasa gembira dan teruja apabila mengetahui ejen luar negara kini memantau bakat-bakat pemain muda dalam negara.

"Budak ini memang padu, semoga terus jadi pemain yang hebat dan tak hanyut dengan dunia, masa dekat JDT ini kumpul segala kekayaan dan pengalaman betul-betul untuk masa depan," kata Muhd Alif.

Arif Aiman 2

Arif Aiman mendapat MVP Liga Malaysia kerana aksi yang cemerlang ditampilkannya pada musim lalu. Facebook

"Wahhhhhh, jangan tanya kenapa kalau tiba-tiba dapat 'offer' dari kelab-kelab Sepanyol," tulis Halim Naim.

"Pemain buangan Lim Teong Kim yang diambil oleh 'scouting talent' JDT dan dituai dan disemai oleh TMJ," jelas Amir Yusoff.

"Sebagai penyokong JDT, bangganya tengok pasukan sendiri boleh 'develop' pemain sehingga menarik minat orang luar, dulu Safawi Rasid kini Arif Aiman pula, tahniah!," ujar Muhd Kemal.

Arif dalam

Arif Aiman (kiri) menjadi tonggak penting buat pasukan Harimau Malaya untuk membantu layak secara merit ke Piala Asia. Facebook

Khidmat pemain muda itu kini ditagih skuad kebangsaan, dalam usaha melayakkan skuad kendalian Kim Pan-gon ke pentas Piala Asia 2023.

Watak Arif Aiman dalam kem Harimau Malaya semestinya menjadi taruhan utama bagi baki dua lagi aksi bertemu Bahrain dan Bangladesh selepas perlawanan bertemu Turkmenistan dalam aksi pembuka tirai Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram