KEMENANGAN bergaya Malaysia 3-1 menentang Turkmenistan dalam aksi Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia pada Rabu sudah tentu sesuatu yang menjadi kebanggaan peminat bola sepak tanah air.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kendalian Kim Pan-gon tidak mengambil masa lama untuk membuka gol pertama menerusi jaringan oleh Safawi Rasid pada minit ke-11.
Faisal (tiga dari kiri) antara penyumbang gol dalam perlawanan pada Rabu. — FAM
Pada masa sama, pemain sayap licik, Faisal Halim menggandakan jaringan hasil rembatan kencang ke gawang lawan pada minit ke-16.
Anak buah Pan-gon terus ghairah menyerang menerusi Arif Aiman Hanapi di sayap kiri, yang berjaya mengucar-ngacirkan keadaan dan sentiasa memberi masalah kepada pertahanan lawan.
Bagaimanapun, kesilapan pertahanan tuan rumah menyebabkan Turkmenistan berjaya mengambil kesempatan dan membuka jaringan pada minit ke-38 menerusi Altymyrat Annadurdyyev.
Namun, tujuh minit kemudian Harimau Malaya sekali lagi ‘mengaum’ di gawang lawan apabila Corbin Ong menghadiahkan gol ketiga untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-45, sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiup pengadil perlawanan.
Berikut adalah lima talking point yang menjadi buah mulut penyokong bola sepak tanah air terhadap persembahan yang ditunjukkan oleh anak buah Pan-gon.
1. Arif Aiman
Penyerang tersebut merupakan antara pemain kegemaran peminat pada 45 minit pertama dalam perlawanan Rabu.
Sifat agresif pemain tersebut berjaya mengucar-ngacirkan pihak pertahanan lawan.
"Arif Aiman buat tiga hingga empat pemain Turkmenistan tu macam budak wakil sekolah je mat," kata Wanadammm.
Babak lincah Arif (kiri) ketika menggelecek bola mendapat perhatian ramai. — FAM
DanialFaudzee menulis: "Punya la power Arif Aiman ni, Malaysia patut bagi dia Tan Sri Balairung Seri YDPA Anjung Seri,"
Helmy Zulkefli berkata: "Kalau Malaysia ada empat orang macam Arif Aiman cukup la kita akan ke Piala Dunia,"
Dalam pada itu, Pahang Is Dead 2.0 menyifatkan Arif sebagai pemain terbaik di atas padang.
"Selamba je dia ayam-ayam kan defend (pertahanan) pihak lawan yang mempunyai fizikal yang lebih besar dari dia.
"Dua bantuan gol dari Arif sudah cukup membawa Malaysia bawa tiga mata penuh malam ni. Level (tahap) kau dah tinggi melangit kalau nak dibandingkan dengan Luqman Hakim yang masih terkial-kial nak dapat rentak dalam pasukan Malaysia.
"Ini semua terjadi kerana latihan world class di JDT membuatkan Arif seorang pemain yang matang pada usia muda," katanya.
2. Pemain JDT dan KDA FC
Umum mengetahui bahawa pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mempunyai krisis dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Lantaran itu, terdapat segelintir penyokong JDT mengambil peluang untuk 'membahan' Sanusi apabila dua pemain negeri itu, Safawi dan Corbin Ong berjaya menjaringkan gol.
Bukan itu sahaja, tujuh pemain daripada kesebelasan utama merupakan pemain dari JDT.
Mereka adalah Farizal Marlias, Matthew Davies, Shahrul Saad, Safawi, Arif, Syamer Kutty dan Corbin Ong.
Sementara itu, tiada langsung pemain KDA FC yang membuat penampilan dalam perlawanan tersebut.
Antara lain membuat ejekan termasuk Ijam MK: "Bayangkan kalau 80 peratus pemain Harimau Malaya tadi merupakan pemain-pemain dari Kohingnya FC. Dengan berbekalkan pengalaman pemain-pemain yang telah melecet dit***n dalam Liga Super. Apa akan jadi,"
3. Darren Lok vs Faisal Halim
Ramai yang berpendapat bahawa, Darren lebih layak mendapat gelaran 'Man of The Match' berbanding Faisal.
Meskipun tidak berjaya menyumbang sebarang gol, Darren juga disifatkan sebagai hero yang tidak didendang.
Mohd Nabihan menulis: "Work rate dia, control ball semua padu. Banyak support winger.
"Boleh dikatakan setelah sekian lama akhirnya kita dapat satu CF (Centre Forward) yang padu. Tahniah Harimau Malaya. Teruskan momentum hingga pertemuan Bahrain nanti,"
Selain itu, T. Avineshwaran berkata: "Darren Lok sentiasa menjadi serigala memburu kesilapan.
Dia layak menerima setiap pujian pada malam ini. Apa yang dia perlukan sekarang adalah matlamat bersama #HarimauMalaya,"
4. Guilherme de Paula
Penyerang naturalisasi itu mendapat kecaman apabila bertindak seolah-olah berjoging di atas padang, sementara ahli pasukan yang lain bertungkus-lumus untuk mempertahankan skuad serta mendapatkan gol jaringan.
Malah, ada yang mempersoalkan sama ada beliau memahami respons 'menganjing' daripada penonton di stadium berkenaan, ketika beliau membuat penampilan sewaktu babak kedua perlawanan.
Aksi penyokong tanah air ketika skuad Harimau Malaya menjaringkan gol. — FAM
Hal ini kerana ada segelintir yang berpendapat bahawa beliau tidak memberi persembahan terbaik dalam perlawanan sebelum ini.
Hazlisham Othman berkata: "Dia tak dapat beza ke sorakan bagi semangat dengan sorakan ejekan bila dia masuk?
Mohd Syazwan Fairus menulis: "Pada aku benda tu okay. Tak kira la orang sorak niat sokong atau perli. Tapi paling tak dia tau yang peminat Harimau Malaya memang mahukan yang terbaik dan kemenangan. Bagus juga fans Malaysia bagi semangat kat dia. Bukan sahaja untuk dia tapi untuk keseluruhan pemain juga. Kalau benda tu bagi positif kenapa tidak kan?"
5. Corbin Ong
Aksi persembahan yang konsisten menjadikan Corbin mampu mengekang asakan pihak lawan.
Meskipun berperanan sebagai pertahanan kiri, beliau patut dipuji kerana berjaya menjaringkan gol menentang Turkmenistan pada Rabu.
Zamri Bongsu menulis: "Boleh bagi 8/10 setiap game untuk Corbin. Bila diturunkan selalu tidak menghampakan. Pemain Malaysia ni masih okay, cuma perlu pengurusan yang bagus aje,"
Sementara itu, Rafis Naufal berkata: Respect (hormat) dia ni. Main untuk negara 200 peratus komitmen kat atas padang. Memang payah la nak lepas dengan mamat rambut kembang ni," — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram