GOL yang disumbangkan oleh pertahanan kebangsaan, La'Vere Corbin Ong ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Rabu, ternyata memberi kepuasan kepada penyokong bola sepak tanah air.
Tidak hairanlah, majoriti peminat percaya Harimau Malaya dijangka tempang, sekiranya Corbin Ong tidak diturunkan dalam setiap perlawanan yang disertai pasukan tersebut.
Penyokong bola, Don K-Rul IZham berkata, para penyokong perlu lebih risau sekiranya tiada pengganti tulen kepada Corbin Ong, berbanding memikirkan pemain sayap kiri terbaik antara Faisal Halim, Akhyar Rashid atau Mohamadou Sumareh.
"Masak juga kalau Corbin tak boleh main walaupun hanya satu perlawanan, itulah impak kehadiran Corbin Ong ni.
"Mungkin masih awal, tapi kalau Corbin melalui musim hebat bersama JDT lagi dan Malaysia layak ke Piala Asia 2023, aku tak ragu-ragu namakan La Vere Corbin Ong sebagai MVP baharu untuk Malaysia.
"Dia konsisten, dia kuat, dia bagus dan dia cukup layak bergelar pemain terbaik di Malaysia," katanya menerusi laman Facebook.
Mengikut perkiraan, Don K-Rul IZham berkata, Corbin telah membuat penampilan dengan Johor Darul Takzim (JDT) sebanyak 120 perlawanan, manakala tiga daripadanya bermula dari bangku simpanan bermula 2018 sehingga 2022.
Bagi musim 2022, Corbin telah mencatatkan 1,098 minit permainan menerusi 12 penampilan bersama JDT dalam semua kejohanan, selain mencatat enam bantuan gol (assist).
Justeru, katanya, tidak hairan jika Corbin dinilai sebagai pemain termahal dalam Liga Malaysia, yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
"Dia seorang progressive fullback yang bagus, mempunyai kepantasan dan kekuatan ketika memiliki bola. Corbin juga mempunyai teknik crossing sangat baik.
"Gol malam tadi (Rabu) bukan aksi biasa dari pemain berusia 31 tahun ini tapi menunjukkan Cobin mencapai kemuncak prestasi dia," katanya.
Selain itu, aksi Corbin turut disifatkan berada dalam kelas tersendiri.
Hal ini disebabkan pengalamannya yang beraksi di luar negara serta mendominasi pertahanan kiri di JDT, sekali gus menjadikan beliau sebagai faktor utama kecemerlangan kelab itu melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Oleh itu, Don K-Rul IZham tidak menolak kemungkinan bahawa mustahil untuk pemain lain menggantikan posisi Corbin sebagai pertahanan kiri sama ada di JDT atau Malaysia.
"Corbin bagus dalam fullback atau wingback. Jika kita menilai kemampuan Corbin ni, dia juga tidak bermasalah jika berubah-ubah peranan dalam posisi sebab mentaliti Corbin jenis offensive.
"Pemain macam ni susah nak jumpa dalam kalangan pemain tempatan kita, dia punya attitude atau ability sangat bagus dalam bukan satu tapi dua posisi.
"Aku juga yakin team analyst JDT pun sukar mencari kelemahan dalam diri Corbin kerana dia sentiasa beraksi lebih baik. Nak cedera pun susah, fizikal dia dalam kondisi cukup baik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram