Penyokong The Rhinos dedah 3 sebab sukar miliki stadium setanding SSI


  • Podium
  • Rabu, 08 Jun 2022

Peminat mahu skuad Sang Badak mempunyai stadium bertaraf dunia setanding JDT. — Facebook

TIDAK dinafikan, penyokong kelab-kelab bola sepak dalam Liga Malaysia mengimpikan pasukan mereka mempunyai stadium cukup gah seperti Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri milik kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Ia turut menjadi idaman peminat Sabah FC yang mahu skuad Sang Badak mempunyai stadium dengan kemudahan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, ada segelintir penyokong mempunyai pandangan yang berbeza tentang impian 'stadium bertaraf dunia' itu dan menyifatkan ia sebagai angan-angan semata-mata.

Berdasarkan komen dalam hantaran Facebook, SFC Fan Club, berikut merupakan alasan kenapa stadium bertaraf dunia buat Sabah FC sukar direalisasikan sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

1. Penyokong tidak datang tonton perlawanan.

Perkara itu dikongsi pemilik akaun Facebook, Max Omex, yang mendakwa penyokong Sabah tidak datang menyokong pasukan setiap kali perlawanan berlangsung di laman sendiri.

stadium sabah 1

Katanya, tidak perlu membina stadium yang cantik dengan rumput berkualiti sekiranya peminat yang hadir tidak memenuhi stadium berkenaan.

"Tidak payah buat stadium yang cantik dengan rumput yang indah, buat malu sahaja kalau setiap perlawanan Sabah di tempat sendiri yang hadir hanya 10 atau 20 orang.

"Kehadiran penyokong Sabah berbeza jika dibandingkan dengan penyokong Indonesia yang sentiasa memenuhi stadium," katanya.

2. Orang politik dalam pengurusan

Pemilik akaun, Reyzam Iskandar pula berpandangan bahawa harapan stadium seumpama SSI di Sabah hanya akan kekal sebagai angan-angan selagi 'orang politik' menguruskan pasukan itu.

"Selagi orang politk berada dalam pengurusan Sabah FC, jangan harap atau bermimpi kita ada stadium bola sepak setanding JDT," ujarnya.

stadium sabah 2

3. Merungut tiket mahal, tak beli cenderahati tulen

Perkara ini dikongsi pemilik akaun Ebby Sahrul yang berpendapat bahawa impian stadium Sabah FC sukar dicapai kerana peminat sendiri sering merungut harga tiket mahal.

"Tiket pun ramai yang merungut mahal, macam mana mahu buat stadium yang bertaraf dunia," komennya.

stadium sabah 3

stadium sabah 4

Perkara itu turut disokong oleh David Hasrul, yang turut menyatakan sikap penyokong sendiri yang tidak membeli cenderahati kelab yang tulen merupakan sebab Sabah FC tidak mungkin miliki stadium bertaraf dunia seperti SSI.

"Setuju..lepas itu beli baju tiruan merungut tentang harga mahal tetapi mahu macam-macam," tulisnya.

Selain Stadium Likas, Kota Kinabalu yang menjadi venue Sang Badak sebagai hos ketika beraksi dalam saingan Liga Super, terdapat satu lagi stadium yang sering digunakan iaitu Stadium Penampang, namun stadium itu tidak memenuhi kriteria piawaian lampu limpah lux yang ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram