Tok Gajah ada 3 'backup' jika Lee Tuck, Aguero tak jadi datang


  • Podium
  • Khamis, 09 Jun 2022

Perlawanan persahabatan antara Sri Pahang dan Kelantan United yang diadakan pada Selasa untuk menguji pemain baharu Tok Gajah termasuk Mior Dani. — Sri Pahang FC

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) kali ini menyaksikan pasukan Sri Pahang FC dilihat cukup rancak merekrut pemain-pemain yang dianggap berkualiti oleh para penyokong, sekali gus membantu memperkuatkan Tok Gajah menjelang pusingan kedua saingan Liga Super selepas ini.

Buat masa ini, Sri Pahang sekadar menduduki carta ketujuh bagi saingan Liga Super 2022 dan pasukan itu hanya menang dua kali, memperoleh dua seri dan empat kakalahan dari sepanjang lapan perlawanan direkodkan.

Justeru, bagi membantu menaikkan prestasi skuad Tok Gajah, nama-nama seperti Lee Tuck dan Sergio Aguero dilaporkan bakal menyertai semula Sri Pahang sebagai pemain naturalisasi selepas lima tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Namun khabar gembira itu hanya bersifat sementara apabila penyokong Tok Gajah, Panthera Tigris Jacksoni mendedahkan terdapat kemungkinan besar dua pemain berkenaan tidak boleh beraksi sebagai pemain tempatan.

Perkara itu mungkin ada asasnya terutamanya selepas Johor Darul Takzim (JDT) turut membatalkan hasrat menandatangani bekas penyerang import, Gonzalo Cabrera kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan.

lee tuck

Lee Tuck (kiri) dan Sergio Aguero (kanan) sebelum ini dikhabarkan bakal menyertai semula Sri Pahang sebagai pemain naturalisasi.

Selepas tempoh itu, barulah pemain-pemain berkenaan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia.

"Rumours yang bertiup kencang mengatakan Lee Tuck dan Sergio Aguero kemungkinan besar tidak boleh beraksi sebagai pemain tempatan memandangkan peraturan lama kini diaktifkan semula selepas badan induk menghentikan dasar itu.

"Setelah dasar itu dihentikan mana mana pemain bukan warisan hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas lima tahun mereka mendapat taraf kerakyatan Malaysia," tulis Panthera Tigris Jacksoni.

Meskipun penyokong berasa sedih apabila impian membawa masuk Lee Tuck dan Aguero ke Stadium Darul Makmur tidak berhasil, namun tiga bintang baharu mereka diharapkan menjadi senjata rahsia untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi baki saingan domestik musim ini.

Ia termasuklah Mior Dani Armin yang dipinjamkan dari Kelantan FC serta Kevin Ingreso iaitu pemain tengah skuad antarabangsa Filipina merupakan antara senjata rahsia yang memberi senyuman manis kepada penyokong Tok Gajah.

Selain kedua-dua pemain itu, bekas pemain Peterborough FC, Kobe Jae Chong turut disebut-sebut bakal menyarung jersi Tok Gajah selepas dilaporkan mengadakan pertemuan bersama Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

"Sekarang barulah penyokong Pahang tahu kenapa Abang Jamil (jurulatih Pahang, Christophe Gamel) membawa masuk ramai pemain tengah. Ini yang menarik bila ambil jurulatih dari negara kuasa ekonomi Eropah, otak ligat sentiasa ada back up plan.

"Peduli apa Lee Tuck dan Aguero tak boleh main sebab Abang Jamil dah ada Mior Dani, Kevin Ingreso dan Kobe Chong..Jamil Jamil ku sangkakan dua rupa-rupanya tiga kau bawa masuk," kata Panthera Tigris Jacksoni lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram