TMJ undur diri, doa yang terbaik buat JDT


  • Podium
  • Khamis, 09 Jun 2022

TMJ mula mengambil alih pengurusan kelab Harimau Selatan bermula pada penghujung musim 2012.

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, membuat kejutan kepada penyokong bola sepak tempatan apabila mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada menguruskan kelab itu.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran pada laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers, petang Khamis.

Berdasarkan kenyataan itu, TMJ membuat keputusan sedemikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan.

"Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

"Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua," katanya dalam laman rasmi Johor Southern Tigers pada Khamis.

Hantaran dari Johor Southern Tigers pada Khamis.

Untuk rekod, TMJ mengambil alih pengurusan kelab Harimau Selatan bermula pada penghujung musim 2012.

Di bawah bimbingan Tunku Ismail, JDT menjulang kejuaraan liga sebanyak lapan musim berturut-turut yang mana pasukan itu disifatkan sebuah kelab paling digeruni di Malaysia.

Pastinya pengunduran TMJ ini bukan hanya mengejutkan penyokong setia JDT malah ada juga yang merisaukan bagaimana nasib Harimau Selatan selepas ini.

"Katakanlah tidak benar semua ini. Katakanlahhhhhhh!," kata penyokong, Ariffin Janal yang seakan tidak mempercayai pengumuman itu.

"Walaupun dah memberi kepada pengurusan tertinggi, tapi TMJ kena pantau juga.. sebab biasalah pengurusan tertinggi dekat Malaysia ini, kalau tak pantau, rasuah sana sini, songlap sana sini.. apa-apa pun, semoga berjaya JDT," kata Taufik Akashah.

"Saya sebagai orang luar rasa agak terkilan seandainya berita ini benar. TMJ dan JDT FC menyumbang kepada peningkatan kualiti bola sepak Malaysia amnya dan khususnya menjadi Power House untuk bola sepak Malaysia. Semoga Tuanku tangguhkan dulu penyerahan pengurusan JDT FC. Ampun Tuanku," ujar Hafizz Yusoff. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram