Harimau Malaya mahu benam Bahrain


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Antara aksi pemain Harimau Malaya ketika bertemu Turkmenistan baru-baru ini. — Facebook/FAM

SETELAH membenam ego Turkmenistan Rabu lalu, skuad Harimau Malaya kini berazam untuk melakukan perkara sama ketika berdepan Bahrain pada aksi kedua pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Menurut pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, biarpun menyedari cabaran getir menanti skuad kendaliannya kali ini, namun kesemua pemain dilihat sudah bersedia untuk mengharungi aksi getir berdepan pasukan ranking ke-89 dunia itu.

Malah Pan-gon turut gembira apabila kesemua pemain dilaporkan cergas dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius menjelang perlawanan berkenaan.

"Saya percaya perlawanan ini akan menjadi perlawanan sukar buat kita kerana Bahrain merupakan sebuah pasukan yang bagus.

"Dalam masa sama, kita juga turut menghormati mereka yang berada pada kedudukan ranking lebih baik berbanding kita.

"Bagaimanapun, kita tetap berazam untuk beraksi sebaik mungkin berdepan mereka kali ini," katanya.

Rabu lalu, skuad Harimau Malaya itu menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi sulung kumpulan E dan sekali gus ia dilihat menjadi bekal semangat terbaik bagi meneruskan momentum kemenangan berkenaan pada aksi berdepan Bahrain, Sabtu ini.

Mengulas mengenai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan berkenaan, Pan-gon berkata, segala persiapan berjalan lancar dan pemain dilihat bersemangat untuk berdepan Bahrain.

Justeru katanya, berdasarkan kepada persiapan itu, skuad kendaliannya itu diharap mampu meraih sebarang mata bagi mengukuhkan kedudukan pada saingan kelayakan kali ini.

"Paling penting kita perlu meraih mata... sebarang mata, sama ada tiga mata atau satu mata kerana ia begitu penting untuk mengukuhkan kedudukan pasukan," katanya.

Sementara itu pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Khuzaimi Piee percaya, kesemua pemain akan memberikan aksi terbaik masing-masing bagi menghasilkan keputusan positif pada perlawanan berkenaan.

Malah katanya, walau siapa juga yang diturunkan nanti, pemain berkenaan perlu memberikan aksi seratus peratus bagi membantu kejayaan skuad negara.

"Bola sepak ni permainan berpasukan dan saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan terbaik nanti, tanpa mengira siapa juga bakal diturunkan.

"Benar, setiap perlawanan itu ada tekanan... tetapi tidak ada yang mustahil," ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram