SELEPAS beraksi cemerlang menewaskan Turkmenistan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023, penyokong Harimau Malaya semakin tidak sabar menantikan pertemuan skuad dengan dengan Bahrain pada Sabtu.
Tidak hanya itu, terdapat di antara mereka juga yang memberi ramalan barisan kesebelasan utama dan formasi pasukan yang mungkin diguna oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Berkongsi hantaran di Facebook, Semuanya Bola Group, pemilik akaun Mohd Izzul Islam menjangkakan bahawa Pan-gon akan menggunakan formasi 4-3-3, selain menagih khidmat Safiq Rahim, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad.
Dia yang menjangkakan Pan-gon akan mengekalkan Shahrul Saad turut berharap agar pemain itu tidak melakukan kesalahan sama seperti mana semasa perlawanan bertemu Turkmenistan pada Rabu.
"Ini sekadar ramalan, ada berubahan sedikit bawa masuk tiga muka baharu dalam kesebelasan untuk kelirukan pihak lawan.
"Harap Shahrul tidak buat silap yang sama semasa lawan Turkmenistan sebelum ini," katanya.
Antara pemain lain yang turut dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama Harimau Malaya termasuklah Farizal Marlias (ketua pasukan), Corbin-Ong, Dion Cools, Matthew Davies, Syameer Kutty Abba, Azam Azih dan Arif Aiman.
Sementara itu, di ruangan komen pemilik akaun Khair Entizam pula mencadangkan agar Pan-gon menggandingkan Shahrul Saad dan Khuzaimie Piee serta merehatkan Safawi Rasid.
"Dijangka Bahrain akan pressing Malaysia terutamanya di sebelah Shahrul.
"Khuzaimie ada kelebihan pressing bola cross lawan, manakala Shahrul last man sebab dia ada kelebihan marking player," ujarnya.
Selepas bertemu Bahrain pada Sabtu, skuad Harimau Malaya akan bertemu Bangladesh pada 14 Jun untuk aksi terakhir Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram