Israiwah tak jadi ke Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Iswairah (dua dari kanan) bersama rakan sepasukannya dalam pasukan Jordan. — Getty Images

KEDAH Darul Aman (KDA) FC terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain bola sepak Jordan, Ahmed Israiwah menjelang kejohanan Piala AFC tahun ini di Indonesia.

Pembatalan itu berlaku apabila Al-Wehdat SC masih memerlukan khidmat beliau bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam kejohanan sama.

Israiwah sebelum ini pernah beraksi bersama penyerang KDA, iaitu Ronald Ngah Wanjah sewaktu di Jordan untuk mewakili Al-Salt SC.

Untuk rekod, Israiwah sebelum itu memulakan karier bersama Al-Wehdat SC pada tahun 2008 hingga 2013, sebelum berhijrah ke Al-Qadisiyah pada tahun berikutnya.

Kelab terakhir diwakilinya adalah Al-Wehdat setelah bersama Ronald Ngah pada tahun lalu menerusi pasukan Al-Salt SC yang turut beraksi dalam saingan Piala AFC.

Penampilan pertama beliau bersama skuad kebangsaan Jordan bawah 23 (B-23) pada tahun 2014 sebelum menyertai pasukan senior selepas setahun.

Israiwah adalah pemain tengah menyerang dan mempunyai kelebihan untuk beraksi selaku pemain sayap kerana kelincahan beliau untuk menggelecek bola.

Kemasukan beliau bersama KDA adalah untuk mengambil slot kuota pemain import Asia yang telah ditinggalkan oleh Jang Suk-won, setelah pemain dari Korea Selatan tersebut digugurkan atas masalah kecederaan dan prestasi tidak konsisten.

Pada masa sama, KDA dikhabarkan semakin hampir untuk menandatangi bekas pemain kebangsaan Thailand, iaitu Sanrawat Detchmitr, yang berjaya membawa pasukan Gajah Perang itu ke pusingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram