Wanita dirempuh pemandu tersalah tekan pedal minyak di Tawau


  • 112
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Tangkap layar kejadian wanita dirempuh oleh pemandu kereta yang tertekan pedal minyak. — Facebook

TERSALAH tekan pedal minyak punca seorang wanita dirempuh kenderaan dalam kejadian di sebuah di stesen minyak di Jalan Sin On, Tawau, Sabah pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun yang berada di hadapan kaunter stesen minyak itu bagaimanapun bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu wanita berusia 54 tahun dan seorang pejalan kaki.

"Kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan yang dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Ranggu menuju ke Kampung Muhibbah telah singgah ke stesen minyak terbabit untuk mengisi minyak.

"Selepas selesai mengisi minyak, pemandu berkenaan menghidupkan kenderaannya dan menekan pedal minyak yang disangka pedal brek dan seterusnya menyebabkan kenderaan terbabit meluncur laju lalu merempuh dinding kaunter serta seorang wanita yang kebetulan berada di kaunter pembayaran," katanya.

Jasmin berkata, akibat kejadian itu menyebabkan dinding kaunter retak manakala pemandu tidak mengalami kecederaan namun kenderaannya rosak di bahagian hadapan.

"Wanita yang dilanggar pula mengalami luka di bahagian kaki sebelah kanan.

"Hasil siasatan mendapati pemandu warga asing itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Sebelum itu, satu video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 29 saat memaparkan detik cemas seorang wanita yang berada di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak dirempuh oleh sebuah kenderaan yang baru selesai isi minyak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram