Dunia belum berakhir, bintang PJ City reda digugurkan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Kalamullah Al-Hafiz akui kecewa selepas tidak mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya. — MFL

PENJAGA gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mahu bekerja lebih keras mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab sebaik sahaja Liga Malaysia bersambung untuk mendapat kembali peluang bersama skuad kebangsaan.

Namanya diketepikan dalam senarai akhir 23 pemain Harimau Malaya bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E.

Namun, Kalamullah menganggap peluangnya masih belum tertutup sepenuhnya dan baki perlawanan Liga Super ketika ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk memperagakan prestasi lebih baik agar dapat kembali mencuri perhatian selain mampu membantu kelab.

"Rasa kecewa juga apabila tidak dapat bersama 23 pemain (skuad kebangsaan) yang lain, tapi saya anggap masih tiada rezeki.

"Sekarang saya kena fokus balik untuk aksi bersama kelab sebab ini yang paling penting, jadi saya perlu beraksi dengan lebih baik supaya lepas ini berpeluang dapat panggilan sekali lagi.

"Tetapi banyak yang saya belajar sepanjang bersama skuad kebangsaan untuk saya bawa ke PJ City, contohnya cara latihan sebagai penjaga gol, kami lebih banyak membiasakan bola dekat kaki sebab jurulatih lebih menekankan daripada bawah.

"Jadi, sekarang itu yang saya cuba untuk selalu buat bila bersama PJ City dan ditambah corak latihan dengan kelab, InsyaALLAH akan lebih baik," katanya kepada MFL.

Melihat kepada prestasi semasa pasukan yang kini di tangga kelapan liga dan tidak meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir, pemain berusia 27 tahun itu percaya barisan pemain lebih bersedia memperbaiki kesilapan dalam tempoh berehat ini.

Dia juga tidak boleh ambil mudah dalam aksi-aksi akan datang memandangkan setakat ini telah bolos 10 gol selepas tujuh perlawanan berlangsung.

"Sekarang pemain-pemain semua dah boleh tahu dekat mana kesilapan kita buat sebelum ini, jadi memang kita fokus dekat benda itu

"Dah berehat lama memang cukup untuk kita mempersiapkan pasukan dan buat apa yang patut untuk kelab lebih berwaspada dalam aksi akan datang," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram