Pujukan bintang import Terengganu punca Kamara datang main Liga-M


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Kamara menganggap Sherman bagaikan abang dan idolanya. — MFL

KEHADIRAN penyerang import dari Liberia seperti Francis Forkey Doe, Patrick Ronaldinho Wleh, Zah Rahan Krangar dan Kpah Sherman memeriahkan lagi Liga Malaysia.

Terbaharu, penampilan seorang lagi penyerang dari negara itu, Abu Kamara, mula meraih perhatian selepas menjaringkan tujuh gol setakat ini bersama pasukan Kuching City FC.

Bertambah menarik, Kamara mengakui bahawa, perjalanan indahnya bersama Kuching untuk musim ini mungkin tidak terjadi jika penyerang Terengganu, Kpah Sherman tidak memujuknya untuk datang ke sini.

"Sherman umpama abang dan idola kepada saya, dia yang sebenarnya mempengaruhi dan mengajak saya datang ke sini.

"Semasa saya bermain di Eropah pada tahun lalu dan berjumpa dengan dia di skuad kebangsaan, dia ada bercakap mengenai Liga Malaysia.

"Melihatkan pencapaian Sherman di sini dengan banyak jaringan telah dilakukan, saya rasa teruja untuk mengikuti jejak langkahnya.

"Saya harap dapat menjadi salah seorang penyerang berjaya di Liga Malaysia sepertimana Sherman serta pemain-pemain Liberia yang lain sebelum ini," katanya seperti dilapor MFL.

Kamara sebelum ini pernah bermain di Liga Laos pada musim 2016 dan berkelana di Eropah untuk beraksi dengan beberapa kelab di Kosovo, Slovenia dan Macedonia Utara.

Menurut Kamara, dia masih belum mencapai tahap yang diinginkan bersama pasukan kerana mahu lebih konsisten pada setiap perlawanan.

Secara keseluruhan, katanya, dia masih belum berpuas hati prestasinya bersama pasukan kerana menganggap dia mampu memberi persembahan lebih baik.

"Tujuh gol yang dijaringkan bersama pasukan masih belum memadai, kerana sasaran utama sudah semestinya mahu menjadi penjaring terbanyak di Liga Premier.

"Cabaran di pusingan kedua Liga Premier pasti lagi sukar memandangkan semua pasukan akan lakukan banyak pertukaran pemain terutama import.

"Melihatkan kualiti yang ada pada pasukan serta jurulatih yang kami miliki, saya rasa kami mampu menggapai sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram