Kenang pengorbanan pemain, jurulatih Perak FC beraksi tanpa gaji


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Sebahagian daripada pemain yang masih setia bersama Perak FC walaupun tidak dibayar gaji sebelum ini.

KEKALAHAN pasukan Perak FC ke atas UITM FC 0-2 dalam perlawanan Liga Premier pada 21 Mei lalu mendapat reaksi yang berbeza daripada penyokong kesayangan mereka.

Sebahagian penyokong menganggap kemelut kewangan yang melanda pasukan The Bos Gaurus sebelum ini tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk tampil dengan aksi yang longlai.

Malah, ada yang meminta pemilik baharu Perak FC, XOX Berhad supaya merombak pasukan dan menggantikan pemain yang dianggap gagal menyinar bersama pasukan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi juga mendedahkan ada 13 pemain baharu akan dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan tersebut.

Namun, masih ramai peminat yang berharap supaya barisan pemain dan jurulatih yang ada dapat dikekalkan apatah lagi bila mengenangkan pengorbanan mereka sebelum ini yang bermain tanpa gaji.

Seorang penyokong Perak FC, Fadhil Kamarudin menyatakan harapannya supaya semua bersama pasukan sekarang dikekalkan selepas mereka setia berjuang demi nama pasukan.

Bola-

Antara aksi pemain Perak FC ketika bertemu UiTM FC baru-baru ini.

"Satu sahaja minta, mohon pihak XOX jangan buang barisan pemain dan jurulaih yang kekal setia berjuang demi nama Perak semasa pasukan dilanda musibah.

"Mereka sanggup berjuang demi nama Perak, demi bola sepak negeri walaupun tidak dibayar gaji.

"Kalau mereka tidak bagus, cari inisiatif untuk bantu dan jadikan mereka lebih bagus.

"Sebab rasanya tak semua pemain dan jurulatih sanggup melakukan seperti apa yang mereka buat sebelum ini," katanya.

Sebelum diambil alih pengurusan baharu, Perak FC telah berhadapan dengan masalah kewangan sehinggakan pemain dan barisan jurulatih tidak dibayar gaji.

Namun, di sebalik dugaan itu, mereka masih setia bermain di dalam liga demi nama pasukan sehinggalah kemelut itu berakhir dengan kemasukan pemilik baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram