Saya 'enjoy' hidup solo, tapi pintu hati belum tertutup — Aishah


  • Hiburan
  • Rabu, 25 Mei 2022

Aishah mengakui selesa dengan kehidupannya selepas bercerai tetapi tidak menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan baharu.

MEMILIH untuk berpisah pada akhir tahun lalu, penyanyi popular, Datuk Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, mengakui dia lebih selesa dengan kehidupannya kini.

Menurut Aishah, tiada banyak perkara pun yang berubah dalam kehidupannya selepas bercerai apatah lagi dia mempunyai anak-anak bersamanya.

"Buat masa ini, saya enjoy dan tak ada banyak perubahan pun yang berlaku apabila hidup solo, tidaklah sampai rasa sunyi sebab anak-anak pun ada," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia masih terbuka untuk menerima pengganti teman hidup, jelas Aishah, dia sendiri sukar nak menentukan perkara itu.

WhatsApp Image 2022-05-25 at 7.45.27 PM

Aishah ketika di majlis pelancaran single terbaharunya baru-baru ini.

"Kalau ikutkan hati memang lebih senang dengan kehidupan sekarang. Mengenai tutup pintu hati itu, kita tak tahu dengan perasaan yang berbolak-balik, tiba-tiba dah terjumpa seseorang, kita pun tak tahu. Saya tak berani nak cakap," katanya.

Bercakap mengenai soal penceraian dengan bekas suaminya, Aishah berkata, perpisahan itu sudah berlaku sejak September tahun lalu namun lafaz cerai dibuat kira-kira dua bulan kemudian.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai punca penceraian mereka kerana tidak mahu timbul pelbagai cerita pada masa akan datang.

"Penceraian itu pun dah selesai dan ini bukanlah kali pertama berlaku dalam hidup saya. Lagipun saya dipesan supaya tidak bercerita di mana-mana," katanya.

Bercerita mengenai single terbaharunya berjudul Ketentuan Takdir, Aishah berkata, lagu hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan itu dianggap berbeza.

Jelasnya, lagu itu mempunyai kelainan yang dicari selama ini terutamanya melibatkan liriknya yang menceritakan keresahan dalam jiwa dan emosi.

"Sewaktu membaca lirik yang ditulis oleh Habsah, saya lirik dan lagunya adalah sesuatu yang baharu dan saya boleh kaitkan diri saya dengan apa yang diceritakan dalam lagu itu.

"Pada saya untuk menyanyi dengan baik, perlu ada kemampuan untuk fahami jalan cerita lagu itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram