Safawi Rasid semakin dibayangi Arif Aiman


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Safawi perlu bersaing dengan rakan sepasukan JDT, Arif Aiman bagi pemilihan akhir 23 pemain Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

SERAMAI 29 pemain dipanggil ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, serta dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 berdepan Brunei dan Hong Kong.

Berdasarkan senarai panggilan, 14 daripadanya merupakan tonggak Johor Darul Takzim termasuklah dua bintang negara iaitu Safawi Rasid dan wonderkid sensasi, Arif Aiman Hanapi yang cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Peningkatan Arif Aiman itu dilihat sedikit sebanyak semakin membayangi pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid yang dulunya pernah merangkul Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018 dan 2019.

arif aiman 2

Arif Aiman dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021.

Malah, tidak kurang juga ada menyatakan pretasi Safawi Rasid itu dikatakan merudum selepas pulang daripada menyertai kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman pada Disember 2020 yang mana pemain berusia 25 tahun itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan bersama pasukan tersebut.

Semakin dekat dengan pemilihan 23 pemain akhir yang akan dibawa untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, semakin ramai penyokong mula membandingkan kedua pemain itu dan rata-ratanya lebih menggemari corak permainan Arif Aiman berbanding Safawi Rasid.

"Gaya permainan Safawi mudah dibaca dan tiada perubahan pun..sehinggalah tempat dia sudah diambil oleh Ariff Aiman..Aiman boleh bawa bola dengan laju dan memperdaya pertahanan lawan..Aiman pula bukanlah pemain yang suka menjaringkan gol tapi lebih menghantar bola kepada striker utama kecuali ruang sudah terbuka untuk dia melakukan percubaan," kata Matt Arjuna.

"Perlawanan persahabatan bolehlah kesebelasan utama. Kelayakan nanti bagus ambil Arif Aiman," komen pengguna Facebook, Sufian Kamarudin.

"Tiada minit pemainan boleh main kebangsaan ke, hanya di Malaysia. Tapi Safawi saja nak cakap, peak dah habis bro. Arif Aiman lah bagus lagi," kata Mo Aziz sambil merujuk minit permainan Arif Aiman lebih banyak jika dibandingkan dengan Safawi.

Dalam pada itu, berdasarkan laman Transfermarket, pada Liga Super musim ini, Safawi Rasid hanya tampil sebanyak empat perlawanan dengan 58 minit permainan dan berjaya menyumbang satu jaringan kepada JDT iaitu ketika perlawanan menentang Sarawak United.

Manakala Arif Aiman tampil enam perlawanan bersama JDT dan berjaya memberi bantuan jaringan sebanyak empat perlawanan dengan 519 minit permainan serta tampil menjadi pilihan kesebelasan utama Benjamin Mora. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram