SEJAK bermulanya perubahan peraturan pengambilan pemain import pada 2012, pasukan-pasukan yang bersaing di dalam Liga Malaysia (Liga M) telah menandatangani beberapa pemain import yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.
Pada musim lalu, nilai pasaran pemain termahal setiap pasukan Liga Super digabungkan, ia mencecah hampir RM22 juta berdasarkan nilai yang dikeluarkan laman sesawang terkemuka, transfermarkt.co.uk.
Nilai RM22 juta itu diperoleh daripada 12 pemain yang dilihat memiliki nilai pasaran tertinggi dalam pasukan masing-masing yang menyaksikan pemain import mendominasi 'carta'.
Pada musim ini, takhta pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) terus bertukar 'baton' susulan kemasukan penyerang baharu Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri musim ini apabila dianggarkan bernilai RM4.1 juta, sekali gus mengambil alih nilai tertinggi milik bekas penyerang Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera musim lalu.
Ini merupakan 5 pemain import termahal musim 2022:
Forestieri beraksi cemerlang pada musim ini selepas membantu JDT mara ke pusingan 16 terakhir dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). — Facebook
1. Fernando Forestieri (Johor Darul Takzim)
Nilai pasaran semasa: RM 4.10 juta
Fernando Martin Forestieri dari Argentina kini adalah tonggak import termahal Liga M musim ini selain turut dinobatkan sebagai pemain berada pada ranking nombor satu dalam saingan liga tempatan yang dikeluarkan transfermarkt.com.
Forestieri bukan saja memiliki kepantasan dan rembatan yang padu, malah dia mampu meledak gol menerusi tandukan selain kerap menggegar gawang lawan menerusi sepakan percuma serta mampu meledak gol di sudut-sudut yang sempit.
Maka tidak hairan jika penyerang yang pernah mencecah nilai sehingga 7 juta euro (RM33 juta) pada 2018 itu menerima gaji paling tinggi di Liga M dengan kemungkinan anggaran sebanyak AS$1 juta semusim atau bersamaan RM4 juta.
Forestieri pernah dinobatkan sebagai pemain import ketiga paling bernilai yang beraksi di rantau Asia Tenggara di belakang dua pemain import dari Brazil, Diego Lopes dan Pedro Henrique yang beraksi bersama Lion City Sailors di Liga Singapura.
Hyuri telah menjaringakan dua gol dari tiga penampilan bersama pasukan Selangor pada musim ini. — Facebook
2. Hyuri Henrique (Selangor FC)
Nilai pasaran semasa: RM 2.75 juta
Henrique Hyuri de Oliveira Costa baru menyertai pasukan Gergasi Merah pada musim ini sekali gus menjadi penyerang kedua termahal yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia, musim ini.
Menurut laman portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, nilai pasaran penyerang berusia 30 tahun kelahiran Rio de Janeiro, Brazil ini diletakkan pada tanda harga RM2.57 juta.
Penyerang berketinggian 1.86 meter (m) ini turut mempunyai pengalaman beraksi di China serta negara teluk iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama Hatta Club merangkap pasukan lamanya sebelum menyertai skuad Merah Kuning.
Hyuri juga tersenarai sebagai pemain import paling bernilai yang beraksi di rantau Asia Tenggara di kedudukan yang ke-10 bersama Forestieri yang berada di kedudukan ketiga dalam senarai itu.
Jackson menjadi taruhan utama pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee di bahagian pertahanan dengan mengandingkan beliau bersama Dominic Tan. — Facebook
3. Jackson de Souza (Sabah FC)
Nilai pasaran semasa: RM 2.22 juta
Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC memiliki pertahanan termahal dalam saingan Liga Malaysia, setakat jendela perpindahan kali ini.
Ia selepas skuad Sang Badak menandatangani pertahanan import kelahiran Brazil iaitu Jackson de Souza.
Nilai pasaran pertahanan kelahiran Brazil yang berusia 31 tahun ini diletakkan pada harga RM2.24 juta.
Pertahanan yang memiliki ketinggian 1.86 meter (m) ini datangnya daripada pasukan yang beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Brazil iaitu Serie A yang mana pasukan terakhir yang disertainya ialah Fortaleza Esporte Clube.
Pemain yang turut mampu beraksi sebagai pertahanan kanan ini merupakan produk pasukan terkenal dari Brazil iaitu Sao Paulo. Sepanjang bergelar pemain profesional, Jackson hanya ‘mencari rezeki’ di negara sendiri dan Sabah menjadi pasukan luar negara yang pertama disertainya.
Mawutor telah bermain sebanyak 397 minit permainan bersama pasukan NSFC dalam lima penampilan bersama juara Liga Premier 2021 itu. — Facebook
4. David Gordon Mawutor (Negeri Sembilan)
Nilai pasaran semasa: RM 1.75 juta
David Gordon Mawutor, ialah pemain bola sepak Tajikistan kelahiran Ghana yang bermain untuk kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC. Dia kebanyakannya bermain sebagai pemain tengah.
Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim ini tampil dengan berwajah baharu bagi mengharungi cabaran saingan Liga M, apabila menandatangani Mawutor yang mempunyai nilai yang agak tinggi pada perpindahan kali ini.
Pemain berusia 30 tahun yang memiliki ketinggian 1.81 meter pernah mewakili Istiklol FC dan Wisla Krakow sebelum mengikat kontrak bersama juara Liga Premier 2021 itu di bawah kendalian K.Devan.
Penyokong Hijau Kuning mendesak supaya Ronald Ngah segera digantikan dengan penyerang import baharu. — Facebook
5. Ronald Ngah Wanja (Kedah Darul Aman FC)
Nilai pasaran semasa: RM 1.75 juta
Pemain yang bernilai RM1.7 juta berdasarkan nilaian semasa oleh portal Transfermarkt, Ronald Ngah Wanja menjadi taruhan baharu di bahagian serangan Kedah, pada musim ini.
Ronald dilamar Kedah atas kapasitinya sebagai penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan rekod 15 gol. Catatan gol ini telah membantu bekas kelabnya, Al-Salt menduduki tangga ketiga liga terbabit.
Pada masa yang sama, kehadiran Ronald ini juga bagi menggantikan pemergian bekas penyerang pasukan Kedah iaitu Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu FC pada musim 2022.
Selepas beraksi dalam Liga M, penyokong fanatik Hijau Kuning menganggap tag harga yang mencecah RM 1.7 juta bukan satu pembelian yang berbaloi dengan persembahan hambarnya setakat ini, selain ramai juga yang mendesak supaya Ronald Ngah segera digantikan dengan penyerang import baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram