KEJADIAN meragut nyawa menimpa seorang lelaki selepas ditembak berhampiran lampu isyarat di Taman Intan, Sungai Petani, Kedah pada Rabu.
Dalam kejadian lebih kurang pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.
Berdasarkan sumber, mangsa merupakan lelaki India dikenali sebagai Murali Shunmugam, 35, dari Bukit Selambau.
Isteri, anak lelaki dan rakannya selamat tanpa cedera dalam kejadian tengah hari Rabu.
Menurut China Press, empat lelaki bertopeng yang menunggang dua motosikal menghampiri mangsa ketika dia hendak keluar dari keretanya selepas makan tengah hari di salah sebuah kedai kopi.
Salah seorang lelaki bertopeng itu kemudian turun dari motosikal dan menembaknya di kepala.
Seorang saksi berkata, dia tidak dapat melihat penyerang dengan jelas kerana mereka memakai topeng muka dan sarung tangan.
"Kami menyangkakan seseorang telah membakar mercun. Kami hanya menyedari ia adalah tembakan ketika kami keluar untuk memeriksa.
"Mangsa adalah pelanggan tetap di kedai kopi itu. Dia datang ke sini hampir setiap minggu bersama keluarga untuk makan tengah hari," katanya.
Polis telah meminta pengusaha kedai kopi itu ditutup sementara untuk siasatan.
Rakaman video selepas mangsa ditembak di kawasan berkenaan.
Dalam video tular yang berlegar di media sosial, memaparkan seorang lelaki menjerit seakan meminta tolong dengan orang awam selepas mangsa terbaring ditembak di sebelah sebuah kereta.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kelongsong peluru dijumpai di tempat kejadian setakat ini dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta mencari saksi bagi membantu siasatan.
"Motif kejadian masih belum diketahui,” katanya dan menambah lelaki yang ditembak itu dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap, gangsterism dan pengedaran dadah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram