MASIH berteka-teki mengenai individu yang digelar sebagai 'tokong' dalam bola sepak negara, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menambah lagi kebingungan orang ramai dengan status baharunya pada Isnin malam.
Berkongsi menerusi akaun rasmi di Facebook, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu seolah memberi sindiran kepada seorang lagi individu, namun tidak diketahui siapakah sebenarnya individu yang dimaksudkan beliau.
Hantaran yang dikongsi Muhammad Sanusi itu seolah menyindir seseorang yang dipercayai terkesan dengan kenyataan beliau sebelum ini.
"Yang kamu gatal pergi kunyah cili siapa suruh? Orang lain tenang sahaja makan lolipop sambil senyum sikit-sikit, nak gelak tak berani," tulisnya.
Perkongsian Muhammad Sanusi itu turut mendapat komen beberapa pengguna Facebook yang 'menambah perisa' sindiran pemimpin itu.
Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat individu tertentu yang mengawal Liga Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.
Beliau berkata 'tokong' dalam arena bola sepak negara tidak boleh wujud sekiranya semua pasukan mahu berentap secara adil.
Kenyataan tersebut turut mendapat perhatian pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta beliau menjelaskan segala-galanya dakwaan yang dimaksudkan dengan menyertakan bukti dan fakta.
Namun ketika ditemui media di Alor Setar, Kedah pada Isnin, Muhammad Sanusi tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung kenyataan bidas yang dikeluarkan TMJ itu kerana khuatir dilabel sebagai 'derhaka'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram