Badan pemandu terputus, 2 maut rempuh treler di Jambatan Pulau Pinang


  • 112
  • Selasa, 24 Mei 2022

Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat menyelamat.

TULAR satu rakaman video kemalangan maut yang dikatakan berlaku di Jambatan Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.

Menerusi rakaman insiden berdurasi 11 saat itu, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori dan treler dengan keadaan lori merempuh belakang treler berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, dua lelaki maut dalam kemalangan itu yang berlaku di lorong KM8.6 Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau.

Beliau berkata, seorang pemandu lori berusia 39 tahun dan kelindan berusia 19 tahun maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada pukul 5.17 pagi mengenai kejadian itu dan sepasukan anggota bomba dari balai bomba Jalan Perak dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, mangsa terperangkap dalam kenderaan mereka selepas merempuh treler dari belakang dan badan pemandu lori tersebut terputus dua.

Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat menyelamat.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 5.55 pagi manakala seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan tujuh minit kemudian,” katanya. Operasi tamat pada pukul 6.16 pagi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah akibat perlanggaran itu dan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan di tempat kejadian, sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemandu treler berusia 54 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram