PERCAYA atau tidak, bukan sedikit kecaman demi kecaman yang terpaksa dihadam penyerang import Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah Wanja sebaik menjejakkan kaki di Stadium Darul Aman musim ini.
Semuanya gara-gara penyerang kelahiran Tito, Cameroon itu dilihat seolah-olah tidak dapat memenuhi jangkaan tinggi peminat Sang Kenari gara-gara reputasi gahnya selaku penjaring terbanyak Liga Jordan musim lepas.
Apa tidaknya, betapa ramai yang benar-benar kecewa dengan ketumpulan penyudah penyerang bertubuh sasa yang mesra disapa Pak Ngah itu setakat ini, selain dia juga dilihat tak cukup pantas sebaik menyarung jersi no.18 bersama Kedah musim ini.
Selain mula dianggap 'scammer' oleh peminat fanatik Hijau Kuning gara-gara tag harganya mencecah RM1.9 juta yang tidak dianggap satu pembelian yang berbaloi dengan persembahan hambarnya setakat ini, ramai juga yang mendesak supaya Ronald Ngah segera digantikan dengan penyerang import baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula pada Mei depan.
Malah, kejayaan Ronald Ngah meledak dua gol ketika membantu KDA FC membenam cabaran Penang FC 2-1 dalam aksi Liga Super pada 17 April lepas juga belum cukup untuk memujuk hati peminat The Red Eagles terutamanya apabila dia seolah-olah 'hilang dari radar' semasa gergasi utara itu dibelasah Selangor FC dan Sabah FC dengan kekalahan besar 1-4 dan 0-4 sebelum ini.
Tidak hairanlah, ada saja sembang-sembang dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan yang tidak putus-putus mengkritik Ronald Ngah serta memaksanya supaya segera meninggalkan Kedah jika persembahannya masih berada di takuk yang sama ketika KDA FC melayan kunjungan Melaka United di Stadium Darul Aman dalam aksi Liga Super pada 6 Mei depan.
Ronald Ngah (tengah) sedang giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan KDA FC menjelang pertemuan berdepan Melaka United pada 6 Mei depan — Facebook/KDA FC
Cuma di sebalik kecaman bertubi-tubi yang diterimanya setakat ini, Ronald Ngah dilihat cukup tenang serta hanya 'membisu' seribu bahasa apabila langsung tidak menjawab panggilan media, apatah lagi segala mesej bagi mendapatkan reaksinya berhubung tekanan ramai pihak juga sekadar dipandang sepi (seen) oleh beliau di laman sosial.
Ia jelas berbeza berbanding ketika dia mula-mula menjejakkan kaki di bumi Kedah tempoh hari apabila Ronald Ngah tanpa berselindung bersungguh-sungguh mahu membalas kepercayaan peminat Sang Kenari yang ketika itu tidak sudah-sudah menyamakan beliau dengan legenda import prolifik Kedah, Marlon Alex James.
Bercakap kepada Majoriti ketika itu, Ronald Ngah turut berazam untuk mengulangi pencapaian Marlon yang berjaya membantu Kedah melakar kejayaan double treble pada musim 2007-2008.
Cuma iyalah, 'disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.' Ternyata jika diukur menerusi prestasi semasanya setakat ini, Ronald Ngah dan Marlon cukup jauh berbeza ibarat 'langit dan bumi', seperti mana yang dihamburkan bekas pengendali Kedah, Azraai Khor Abdullah baru-baru ini.
Azraai yang merupakan watak penting dalam usaha memikat Marlon ke bumi jelapang padi pada waktu itu sebaliknya percaya pengurusan KDA FC musim ini membuat kesilapan besar membawa masuk Ronald Ngah yang didakwanya tidak sesuai dengan corak taktikal pasukan itu memberikan saingan dalam aksi domestik, apatah lagi untuk menjadi antara pencabar digeruni di pentas Piala AFC.
Apa yang pasti, pengurusan KDA FC pastinya bukan mudah untuk melepaskan Ronald Ngah sewenang-wenangnya kepada mana-mana kelab, tambahan pula klausa penebusan kontrak dengan tanda harga RM1.9 juta itu pastinya membikin kelab-kelab lain berfikir bukan sekali, malah berkali-kali jika berhasrat mendapatkan penyerang itu.
Adakah tindakan 'membisu' Ronald Ngah ketika ini merupakan cara beliau mengendurkan segala tekanan dan sentimen luar padang terhadapnya? Atau mungkin juga dia lebih selesa untuk menutup mulut lantang pengkritik dengan kembali mempamerkan kemampuan dan bisa sebenarnya dalam padang selepas ini? Hanya Ronald Ngah yang mengetahui jawapannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram