PENYERANG import baharu Kedah FC, Ronald Ngah Wanja dilihat tidak mengambil masa yang lama untuk 'menutup mulut' pengkritik apabila meledak gol tunggal ketika menjinakkan Sarawak United 1-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada malam Jumaat.
Meskipun sekadar mencetak sebutir jaringan dalam pertemuan tersebut, ia sudah cukup untuk menyuntik tonik semangat penyerang kelahiran Cameroon itu, sekali gus membakar adrenalin seluruh peminat fanatik Sang Kenari supaya tidak putus-putus menyokong Kedah musim ini.
Lebih manis, ia merupakan gol pembuka tirai saingan Liga Super 2022 musim ini, sekali gus memahat nama Ronald di trek yang betul dalam usaha memburu Anugerah Kasut Emas seperti mana yang pernah dibuktikan beliau dalam saingan Liga Jordan musim lepas.
Tanpa berselindung, Ronald yang mesra disapa Pak Ngah dalam kalangan peminat Hijau Kuning juga gembira dengan kejayaannya meledak gol, terutamanya apabila ia berjaya diterjemahkan di gelanggang lawan.
"Ini merupakan babak baharu dalam karier saya sebagai pemain bola sepak. Sudah tentu, ia satu perasaan yang indah dapat menjaringkan gol di tempat lawan," tulisnya di Instagram pada Sabtu.
Dalam pertemuan itu, Ronald mencipta akaun gol pertamanya bersama Kedah apabila mudah menolak masuk bola muntah tandukan seorang lagi pemain import, Jang Suk Won yang terlebih dulu terkena tiang gol hasil sepakan percuma Syazwan Zainon.
Begitupun tegas Ronald, dia enggan mendabik dada dengan kejayaannya mencetak gol sulung bersama Kedah kerana perjalanan liga masih panjang.
"Kami perlu sentiasa memiliki mentaliti untuk menang. Sudah pasti akan ada hari yang tidak berpihak kepada kami, namun kami akan terus bersama dan berjuang sebagai satu pasukan. Pulun Kedah Pulun," ceritanya lagi.
Terdahulu, terdapat segelintir peminat The Red Eagle yang meragui kemampuan sebenar Ronald gara-gara dilihat agak 'berat' serta sukar menemui sentuhan penyudah, meskipun dia berjaya meledak enam gol dalam enam aksi pramusim sebelum ini.
Namun, ada juga peminat Hijau Kuning yang mendesak supaya memberikan Ronald lebih masa dan peluang untuk membuktikan kemampuan, sekali gus menyamai kehebatan bekas penyerang import Kedah terdahulu seperti Jan Janostak, Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Marlon Alex James.
"Pak Ngah keliaaa... Steady Pak Ngah Manja... Boh banyak gol lagi," tulis beberapa peminat.
Selepas ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini berkongsi tiga mata bersama Johor Darul Takzim (JDT dan Negeri Sembilan FC (NSFC) akan melayan kunjungan KL City di Stadium Darul Aman dalam aksi kedua Liga Super pada 9 Mac. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram