KEHADIRAN penyerang import berbisa Cameroon, Wanja Ronald Ngah bukan saja menarik perhatian penyokong fanatik Kedah, malah seluruh peminat bola sepak tempatan.
Memiliki reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan 15 gol daripada 20 penampilan bersama Al Salt SC, pastinya kehadiran Ronald dinanti-nantikan sekali gus menjadi antara calon terbaik Anugerah Kasut Emas Liga Super musim ini.
Pada masa sama, ramai peminat fanatik The Red Eagle juga tertanya-tanya mengapakah penyerang berusia 30 tahun itu tidak menyarung jersi no. 9, nombor jersi keramat yang cukup sinonim dengan legenda import Kedah selama ini seperti Marlon Alex James, Olubunmi Adigun dan Andre Luis Nascimento di Stadium Darul Aman.
Sebaliknya, penyerang kelahiran Tito, Cameroon yang memiliki ketinggian mencecah 1.84 meter itu membuat keputusan untuk menyarung jersi bernombor 18 bersama skuad Hijau Kuning musim ini.
KEPUTUSAN Ronald Ngah menyarung jersi no.18 mencetus perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak Kedah khususnya di media sosial
Mungkin, ramai yang tidak tahu sebenarnya tidak pernah waima sekali pun Ronald menyarung jersi no.9 sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak sejak membuat debut pertama bersama kelab Cameroon, Njala Quan Sports Academy pada 2013.
Sebaliknya, Ronald yang mesra disapa Pak Ngah dalam kalangan peminat fanatik The Red Eagle lebih cenderung memilih jersi no.18 termasuk ketika bersama kelab terakhirnya sebelum menyertai Kedah, Al Salt SC.
Ronald juga tidak memakai jersi no.9 ketika pertama kali menyarung jersi skuad antarabangsa Cameroon ketika tampil selaku pemain gantian dalam aksi berdepan Congo ketika pusingan pertama Piala Negara-Negara Afrika 2015 di bawah sentuhan jurulatih yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, Claude Le Roy ketika itu.
Sejak bergelar pemain profesional, cuma dua kali saja Ronald tidak menggunakan jersi bernombor 18 iaitu ketika bersama Smouha SC (jersi no.21) dan Qadsia SC dengan memakai jersi bernombor 27.
Jadi, terdapat sembang-sembang di kedai kopi yang beranggapan no.18 sememangnya nombor bertuah buat Ronald khususnya ketika cemerlang meledak beberapa gol penting buat Al Salt SC sepanjang saingan Piala AFC musim lalu.
Tidak hairanlah, Ronald sekali lagi memilih untuk kekal menyarung jersi no.18 ketika bersama Kedah musim ini meskipun keputusannya itu mengundang persoalan ramai peminat fanatik Lang Merah.
Apa yang pasti, kredibiliti yang mampu diterjemahkan Ronald bersama Kedah musim ini jauh lebih penting berbanding nombor jersi yang menjadi pilihan hatinya.
Bekas bos Ronald di Al Salt SC, Jamal Abu Abed juga tanpa berselindung menyifatkan Ronald antara pemainnya yang cukup cemerlang terutamanya mematuhi setiap percaturan taktikal beliau sebelum ini.
"Pasukan kami sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dan kami bertuah memiliki pemain yang istimewa dan mampu membawa kejayaan kepada pasukan," kata Jamal Abu Abed terhadap Ronald.
Tidak mustahil, Ronald bakal menjadi contoh terbaik buat rakan-rakan sepasukan menterjemahkan setiap percaturan jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam saingan domestik mahupun di peringkat Kumpulan G Piala AFC 2022 apabila diundi bersama kelab liga Filipina, Kaya FC Iloilo dan kelab Indonesia, Bali United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram