Saya tak kenal Marlon, tapi demi Kedah dan peminat... — Ronald Ngah


  • Podium
  • Sabtu, 12 Feb 2022

RONALD Ngah dan rakan-rakan sepasukannya sedang giat menjalani latihan menjelang aksi pramusim Piala Sabah Maju Jaya antara Kedah FC dan Sarawak United di Stadium Likas, Sabah petang ini. — KDA FC

SEMASA zaman kegemilangan Marlon Alex James membantu Sang Kenari melakar kejuaraan double treble bagi musim 2007-2008, penyerang import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Wanja Ronald Ngah baru saja berusia 16 tahun pada waktu itu.

Tidak hairanlah, majoriti peminat fanatik The Red Eagle mula membandingkan kemampuan sebenar Ronald Ngah, 30, dengan Marlon terutamanya apabila kedua-dua import itu memiliki kelebihan fizikal yang cukup tegap dan sempurna selaku mesin pencetak gol di jentera serangan.

Hadir di Stadium Darul Aman dengan reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Pro Jordan 2021 dengan 15 gol daripada 20 penampilan bersama Al Salt SC, Ronald begitupun enggan mendabik dada serta tidak mahu menjadikan perbandingan peminat yang menyamakan beliau dan Marlon sebagai tekanan, sekali gus berhasrat memberikan yang terbaik buat skuad Hijau Kuning musim ini.

"Saya langsung tidak mengenalinya (Marlon), tetapi saya berhasrat untuk mengulangi pencapaian beliau bersama kelab sebelum ini.

"Jika berjaya melakukannya, sudah tentu ia satu kejayaan yang cukup bermakna bukan saja untuk saya, malah untuk Kedah dan peminat," katanya kepada Majoriti.

Sebagai pemain profesional, Ronald yang mesra disapa Pak Ngah dalam kalangan peminat fanatik Lang Merah juga tidak terlalu terbuka untuk bercerita mengenai arahan taktikal dan sasaran peribadi beliau bersama Kedah FC musim ini.

"Maaf, saya tidak akan menjawab mana-mana soalan berkaitan pasukan.

"Cuma satu saja buat peminat Kedah, saya akan memberikan 100 peratus komitmen terbaik setiap kali diturunkan dengan izin Tuhan," ceritanya lagi.

Penyerang kelahiran Tito, Cameroon yang memiliki ketinggian mencecah 1.84 meter itu memberitahu, dia juga percaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran tempatan secepat mungkin serta cukup gembira sebaik menjejakkan kaki di bumi jelapang padi.

"Masakan tempatan agak pedas, tetapi saya memang suka makan nasi. Saya juga belum benar-benar memahami slanga (Utara), namun percaya ia memerlukan masa.. Bagi saya tiada masalah," ujarnya.

Pada masa sama, Ronald akhirnya membuka rahsia sebenar mengapa dia memilih untuk memakai jersi no.18, bukannya no.9 yakni nombor jersi keramat yang cukup sinonim dengan legenda import Kedah selama ini seperti Marlon, Olubunmi Adigun dan Andre Luis Nascimento di Stadium Darul Aman.

"Nombor 18 memang nombor kegemaran saya sejak dulu," katanya yang cuma dua kali saja tidak menggunakan jersi bernombor 18 sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak iaitu ketika bersama Smouha SC (jersi no.21) dan Qadsia SC dengan memakai jersi bernombor 27.

Untuk rekod, Ronald telah meledak empat gol dalam enam aksi pramusim Kedah setakat ini.

Ketika ini, Ronald dan rakan-rakan sepasukannya berada di Sabah bagi mengharungi aksi pramusim terakhir Kedah FC iaitu Piala Sabah Maju Jaya sehingga 18 Februari.

Pada aksi pramusim itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan diuji skuad Liga Super, Sarawak United di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang ini sebelum berdepan Kelantan FC (15 Februari) dan tuan rumah, Sabah FC di venue sama pada 18 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram