DUA gol diledak penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah ketika menentang Penang FC baru-baru ini, dilihat cuma berjaya menutup seketika mulut pengkritik bola sepak tanah air.
Sebelum ini, kehadiran Ronald Ngah bersama KDA FC kerana gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sejak tiba musim ini.
Malahan, ada yang melabelkan Ronald Ngah sebagai 'scammer' ekoran prestasi hambar yang ditunjukkan oleh pemain tersebut meskipun ada yang gembira apabila penyerang sensasi itu menemui semula sentuhan penyudah ketika berdepan Penang tempoh hari, sekali gus ada juga peminat yang menyamakannya dengan Lionel Messi di media sosial.
Mengulas lanjut berhubung prestasi Ronald Ngah, bekas pengendali Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, penyerang kelahiran Cameroon itu bukan pemain yang sesuai untuk mengemudi jentera serangan skuad Hijau Kuning musim ini.
Sewaktu ditanya sama ada Ronald Ngah mampu setanding dengan bekas legenda KDA FC iaitu Marlon Alex James, Azraai berkata: "Bagai langit dengan bumi."
Ujarnya, secara teknikal, Ronald Ngah bukan seorang penyerang berkualiti serta KDA FC tidak boleh bercita-cita tinggi untuk pergi lebih jauh dengan pemain sedemikian.
"Dia tiada kemampuan dan bergantung kepada pasukan yang menentang KDA FC.
"Bagi saya, Penang FC sedang bergelut dengan masalah kecederaan dan Ronald Ngah bernasib baik saja dapat menjaringkan dua gol.
"Tandukannya juga tidak berapa tepat. Tiga kali tandukan, semuanya melambung tinggi.
Marlon (kanan) merupakan tonggak penting KDA FC di bawah Azraai. — Facebook
"Sekiranya saya jurulatih, saya tidak akan membeli seorang penyerang seperti Ronald Ngah. Boleh lihat penyerang bagaimana saya bawa dahulu, contohnya (Marlon Alex) James di KDA FC dan Paulo Rangel di Perak FC.
"Pemain seperti mereka yang benar-benar berfungsi sebagai penyerang," katanya kepada Majoriti.
Selepas ini, KDA FC akan bertemu Sabah FC dalam perlawanan keenam Liga Super pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram