'Jangan harap Pak Ngah seorang, yang lain pakat tolong dia sama'


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Penyerang Kedah, Ronald Ngah meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukannya ketika menewaskan Penang FC di Stadium Bandaraya. — Kedah Darul Aman FC.

SELEPAS kekalahan pada perlawanan lalu menentang Selangor FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya bangkit menewaskan Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada malam Ahad.

Pada aksi pertembungan Derbi Utara itu menyaksikan persembahan mengagumkan dari penyerang import, Ronald Ngah Wanja yang berjaya menyumbangkan dua jaringan gol untuk pasukan Hijau Kuning pada aksi babak kedua.

Kebangkitan dipamerkan Ronald Ngah yang mesra digelar Pak Ngah oleh para penyokong KDA FC itu berjaya merawat luka pada perlawanan lalu apabila Sang Kenari dibelasah Selangor 1-4.

ss

Tangkap layar pendapat dari pengguna Facebook Faiz Rodzi.

Kekalahan di tangan Selangor menyebabkan penyokong mula meragui kemampuan pemain berasal dari Cameroon itu, selain mendesak supaya Pak Ngah hanya perlu memanaskan bangku pemain simpanan berbanding menjadi penyerang utama pasukan Kedah.

Sehubungan dengan itu, melihat pada aksi pada perlawanan menentang Harimau Kumbang, pengguna Facebook Faiz Rodzi berpendapat pemain seperti Pak Ngah sebenarnya mempunyai kualiti yang baik sebagai penyerang, namun dia memerlukan sokongan dan lorongan dari pemain tengah.

"Player macam Ronald Ngah ini ada kualiti tapi perlu ada sokongan dan lorongan yang baik, nampak bila guna dua defensive minded di bahagian tengah, Ronald jarang dapat bola, disjointed.

"Tapi bila attacking minded, Fazrul Danel masuk baru nampak penglibatan Ronald Ngah," katanya menerusi halaman Facebook KDA FC Fans.

Tambahnya, pemain tengah memainkan peranan penting dalam sebuah pasukan kerana jika bahagian itu tidak bermain dengan baik, ia akan memberikan kesan kepada seluruh skuad terutamanya apabila ingin menjaringkan gol.

"Tengah ni cukup penting, kalau sistem ini lumpuh satu pasukan lumpuh..Ada kreativiti, ada visi adalah kebarangkalian untuk Ronald Ngah menjaringkan gol. Kalau tiada penat nak maki dia sahaja lah," tambahnya.

Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun itu berjaya meledak gol pada minit ke-62 sebelum menyumbat gol kedua tiga minit kemudian sekali gus memastikan tiga mata berharga Sang Kenari.

Perlawanan seterusnya, KDA FC akan berkunjung ke Negeri Di Bawah Bayu bagi perlawanan menentang Sabah FC pada Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram