Pessoa kongsi kehidupan di Sabah


  • Podium
  • Rabu, 27 Apr 2022

Pessoa (tengah) hanya sempat beraksi dalam empat penampilan Liga Super ketika ini. — Facebook Sabah FC

BARU enam perlawanan Liga Super, penyerang Sabah FC, Neto Pessoa terpaksa berehat untuk tempoh masa yang lama akibat kecederaan di bahagian kaki kirinya.

Musim ini, Pessoa diletakkan sebagai penyerang utama Sang Badak di samping dua lagi pemain import, Saddil Ramdani dan Taiki Kagayama.

Namun Pessoa hanya mampu meledak satu gol sahaja dalam empat penampilannya di Liga Super setakat ini.

Bercakap tentang kecederaannya, Pessoa mengakui kecewa apabila terpaksa disisihkan meskipun saingan liga baru bermula.

"Saya cedera di bahagian kaki kiri. Kali terakhir saya mengalami kecederaan seperti ini adalah pada 2017.

"Saya kecewa tetapi pada masa yang sama, saya perlu bersabar dan saya sudah menjalani rawatan yang terbaik dan mahu membantu rakan sepasukan secepat mungkin," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-04-26 195750

Pessoa (kanan) menyertai Sabah FC dari kelab Brazil, Remo. — Facebook Sabah FC

Tambahnya, rutin latihannya juga sangat berbeza dengan rakan sepasukan yang lain ketika ini namun mengakui sangat mengagumi cara pihak pengurusan Sabah FC sewaktu Ramadan.

"Kami akan berlatih selepas matahari terbenam supaya pemain beragama Islam dapat makan dan menjalani latihan dengan gigih.

"Ia satu tindakan yang dipuji dan patut dihormati tanpa mengira kepercayaan dan agama," ujarnya.

Ketika ditanya tentang kemenangan Sabah FC ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Ahad, Neto berkongsi kegembiraan melihat persembahan Amri Yahyah.

"Saya berada di stadium (Stadium Likas) untuk menyokong rakan sepasukan lain dan saya gembira dengan apa saya lihat.

"Saya percaya ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee mempunyai skuad yang baik dan kami berada pada laluan terbaik untuk mencapai kedudukan memberangsangkan dalam liga," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram