Apa sudah jadi dengan Kedah?


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Pemain KDA FC seperti hilang arah ketika bertemu Sabah FC pada Ahad. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) sekali lagi dimalukan dengan jaringan besar 0-4 sewaktu saingan Liga Super berdepan Sabah FC pada Ahad.

Jaringan hatrik oleh pemain veteran, Amri Yahyah dan sepakan percuma yang cantik oleh pemain import, Park Tae-su meranapkan impian KDA FC untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Stadium Likas, Sabah.

Sabah FC kini menduduki tangga kedua, berkongsi 12 mata dengan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan KDA FC.

Mengulas lanjut tentang prestasi pasukan tersebut, menurut bekas jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah, penyerang seperti Syafiq Ahmad memerlukan seseorang yang berkaliber untuk menjadi pasangannya di bahagian serangan.

"Perlu guna formasi 4-4-2 atau 4-3-3. Syafiq seorang sahaja tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya kena pakai dua penyerang.

"Memandangkan KDA FC sudah menandatangani penyerang import, sepatutnya pembelian itu lebih berkualiti.

"Bagi saya, KDA FC bukan calang-calang pasukan cuma saya tak nampak lagi ancaman daripada bahagian serangan," katanya kepada Majoriti.

Syafiq (kanan) cuba merampas bola daripada Baddrol. — Facebook KDA FC

Tambah Azraai, kehilangan pemain berpengaruh seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali merencatkan corak permainan KDA FC pada musim ini.

"Pergerakan menarik dari bawah ke atas tiada pada Kedah musim ini. Saya akui Baddrol memainkan peranan penting ketika berada di Kedah.

"Tengoklah macam mana corak permainan Sabah FC selepas dia datang.

"Marc Vales yang menggantikan Rizal di bahagian bek kanan juga tidak menyerlah. Ada sesuatu yang tidak kena tentang formasi Kedah.

"Pada saya, kombinasi antara pemain tempatan dan import itu perlu ada," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram