The Rhinos tempang tanpa Pessoa hadap Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Kecederaan dialami Pessoa (tengah) dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

PENYERANG utama Sabah FC, Neto Pessoa masih mengalami kecederaan dan dijangka tidak dapat diturunkan ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di Kota Kinabalu, Sabah pada malam Ahad.

Ketua jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata, kecederaan dialami pemain kelahiran Brazil itu dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Namun katanya, Sabah FC mempunyai ramai pemain yang berupaya mengambil alih posisi Pessoa sementara menunggu beliau sembuh.

"Ini penting dalam saingan liga yang begitu panjang. Kecederaan, penggantungan disebabkan kad kuning, harus kita terima dan memastikan sesiapa sahaja yang tersenarai menggantikan pemain-pemain utama boleh menjalankan tugas dengan baik.

"Saya percaya semua pemain telah bersedia untuk diturunkan dalam pertembungan menentang Kedah esok bagi memastikan kita bermain dengan lebih baik,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Kim Swee berkata, Sabah perlu bangkit dan mendapatkan semula rentak permainan untuk mencapai keputusan lebih baik apabila bertemu Kedah.

Beliau berkata, pemain perlu melupakan kekalahan 0-2 di tangan KL City pada 16 April lepas dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan malam Ahad.

"Kedah merupakan pasukan cukup kuat. Ini terbukti dengan kedudukan mereka sekarang selepas tewas kepada Selangor, mereka bangkit menewaskan Penang FC,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram