SETELAH mengharungi lima perlawanan Liga Super, barisan serangan Sabah FC hanya menghasilkan lima gol, yang mana kesemua jaringan itu cuma diperoleh daripada tiga perlawanan.
Situasi itu ternyata membuatkan peminat kelab itu resah dengan ketumpulan barisan serangannya, terutama selepas berbelanja besar membawa ramai bintang bagi mengharungi musim ini
Musim lalu, ketumpulan barisan serangan Sabah FC yang hanya menjaringkan 21 gol daripada 22 perlawanan Liga Super menyebabkan kelab itu menamatkan saingan dua tangga di atas zon penyingkiran.
Seorang penyokong Sabah FC, Sam Ku Lian meluahkan pendapatnya di Facebook mengenai kelemahan pasukan itu selepas lima perlawanan Liga Super musim ini.
Menurutnya, The Rhinos kekurangan seorang penyerang berbisa yang mampu memberi masalah buat pertahanan lawan dan memanfaatkan hantaran rakan-rakan sepasukan.
"Sabah kena cari player di bahagian serangan yang betul-betul boleh menggempur dan menjaringkan gol. Sekarang Sabah FC punya pertahanan kebal, punya midfield yang baik untuk long pass macam Baddrol Bakthiar tetapi tiada penyerang yang dapat menyambut bola dengan baik di hadapan.
"Carilah striker yang padu! Sekiranya Sabah FC dapat cari striker dalam masa terdekat ini, confirm Sabah FC boleh bagi saingan yang lebih sengit!," katanya.
Selain itu, dia turut mempersoalkan fungsi pemain import Jepun, Taiki Kagayama yang dikatakan masih belum membawa impak positif buat pasukan.
Dia berpendapat, pemain lain seperti Thanabalan harus diberi peluang memandangkan untuk membuktikan kehebatannya berbanding Kagayama.
Kagayama sudah melakukan empat penampilan musim ini namun gagal menjaringkan sebarang gol. — Sabah FC
"Taiki (Kagayama), fizikal dia rendah dan selalu hilang bola. Dia cuma sekadar pelengkap kuota import, tiada aksi-aksi yang memberangsangkan atau miracle lagi yang dilakukannya dalam dua perlawanan terakhir ini.
"Persoalannya? Kenapa team yang jaga taktikal Sabah tidak nampak kelemahan dia? Masa lawan KL City FC, pertahanan mereka tinggi-tinggi, kenapa tidak menurunkan player yang lebih tinggi dan laju seperti Thanabalan untuk ganti tempat Taiki?" soalnya.
Sabah FC bakal melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super seterusnya pada Ahad.
The Rhinos kini menghuni tangga ketiga liga dengan sembilan mata di belakang KDA FC yang memungut 12 mata selepas lima perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram