JARINGAN hatrik oleh bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah ketika Sabah FC menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-0 pada Ahad menjadi perbualan ramai peminat bola sepak tanah air.
Masakan tidak, seorang pemain berusia 41 tahun yang sepatutnya sudah menggantung but, berjaya menyumbat hatrik dalam saingan peringkat tertinggi Liga Malaysia (Liga-M).
Malahan, pujian turut diberikan oleh ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee terhadap pemain tersebut.
Ujar Kim Swee, pencapaian Amri itu sukar diulangi oleh mana-mana pemain lain di negara ini dalam masa terdekat.
Melihat kepada prestasi itu, ada peminat Sang Badak mahukan pemain import, Neto Pessoa direhatkan bagi memberi laluan kepada Amri untuk mengisi posisi penyerang utama.
Pessoa kini terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan dan dijangka bakal terlepas saingan Liga Super untuk tempoh lama.
Kim Swee puji impak Amri ketika perlawanan menentang KDA FC pada Ahad. — Facebook Sabah FC
Namun menurut seorang pengguna Facebook, J RacKy NasRi, para peminat Sabah FC tidak sepatutnya terlalu gembira dengan prestasi Amri.
"Bukan fokus utama Amri semalam (Ahad). Itu yang dia free running, siap buat magik.
"Tapi kalau selalu jadi penyerang utama, memang kena target oleh pemain lawan.
"Jangan lupa, masa Piala Malaysia musim lalu, dia main semua game tapi gagal jaringkan gol sebab kena kawal habis.
"Perlu ada rotation antara Amri, Pessoa dan mungkin Thanabalan," katanya pada ruangan komen di laman media sosial tersebut.
Bagi seorang lagi pengguna Facebook, Mathwilfred John Siul, peluang harus diberikan kepada Pessoa untuk membuktikan kemampuannya kerana baru beraksi beberapa perlawanan.
"Hantaran bola pada Pessoa pun tidak tepat jika tengok balik perlawanan yang lepas.
"Amri dah dua musim dengan Sabah. Hantaran bola Amri tepat tapi Taiki Kagayama tiada penyudah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram