PERLAWANAN yang cukup menarik malam ini pastinya ditunggu-tunggu oleh semua peminat bola sepak Kedah apabila pasukan kesayangan mereka itu akan bertemu dengan Sabah FC di Stadium Likas, Sabah.
Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu merantai bekas 'Captain Marvel' mereka jika berhasrat untuk menumpaskan pasukan The Rhinos itu.
Walaupun kini Kedah selesa di tangga kedua liga, pertemuan pada malam ini tidak boleh dipandang mudah kerana barisan anak didik Datuk Ong Kim Swee dibarisi oleh ramai bekas pemain kebangsaan berpengalaman.
Mereka terpaksa berhadapan dengan bekas 'Captain Marvel' mereka, Baddrol Bakhtiar selain Rizal Ghazali yang boleh memeningkan barisan pertahanan lawan.
"Perlawanan malam ni kena rantai Baddrol..dia punya long pass bahaya. Lepas tu jangan bagi Sabah dapat sepakan percuma depan pintu gol...Baddrol memang power.
"Hati-hati Kedah game malam ini," kata seorang penyokong Kedah, Aziz Ismail di Facebook ^_ Penyokong Setia Kedah _^ pada Ahad.
Komen seorang penyokong terhadap aksi Kedah menentang Sabah malam ini. — Facebook
Setakat lima perlawanan, Kedah merekodkan satu kekalahan dan kini berkongsi mata bersama dengan Johor Darul Takzim untuk berada di kedudukan kedua liga dengan JDT kekurangan dua perlawanan termasuk minggu ini kerana masih dalam saingan ACL 2022.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin dilaporkan berkata, beliau tetap berhati-hati dengan cabaran daripada The Rhinos pada malam ini kerana Sabah pastinya mahu bangkit mencipta kemenangan setelah tewas dalam perlawanan sebelum ini ketika menentang Kuala Lumpur City.
“Misi kali ini tetap sukar kerana Sabah sudah pasti mahu bangkit dari kekecewaan selepas tewas kepada KL City pada perlawanan lalu.
Selain itu, Sabah juga memilki ramai pemain berpengalaman termasuk ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang pastinya tidak akan diberi laluan mudah sepanjang perlawanan.
“Ini sudah pasti memberi cabaran yang cukup sengit buat kami di tempat lawan selepas beraksi menentang Penang FC minggu lalu dimana kami juga tidak diberi laluan mudah sepanjang tempoh perlawanan,” katanya kepada pemberita.
Baddrol (kiri) dan Rizal (lima dari kiri) antara pemain berpengalaman yang digeruni Kedah. — Facebook
Aidil turut mengingatkan para pemain untuk sentiasa fokus serta mengikut segala perancangan bagi mengekang kemaraan pihak lawan.
Terdapat beberapa pemain yang perlu diberikan perhatian dan sudah semestinya Kedah terpaksa merantai pergerakan Baddrol Bakhtiar kerana pemain itu mampu melakukan magis ketika perlawanan genting.
“Pengalaman berdepan Sabah FC ketika aksi persahabatan di Stadium Likas pada kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (PSMJ) Februari lalu menjadi sedikit panduan buat pemain. Diharapkan pengalaman ini dapat membantu mereka meningkatkan lagi tahap keyakinan diri ketika beraksi,” katanya.
Pasukan Sang Kenari pada saingan tahun ini diperkuatkan dengan beberapa pemain baru yang dilihat cepat untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan corak permainan Kedah.
Pemain itu antaranya Al-Hafiz Harun, Amer Azahar, Azmeer Aris serta pemain import mereka yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi Dechi Marcel di bahagian tengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram