KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal meneruskan rekod cemerlang di bumi Negeri Bawah Bayu apabila tewas besar kepada Sabah FC dengan keputusan 0-4.
Penyerang veteran, Mohd Amri Yahyah menjadi duri dalam daging buat skuad Sang Kenari apabila melakar hatrik selain satu gol disumbangkan oleh Park Tae-su.
Skuad Badak ternyata mendominasi perlawanan tersebut dari awal permainan dengan banyak cubaan terutamanya dari penyerang Korea, Tae-su tetapi sering digagalkan oleh penjaga gol utama Kedah, Ifwat Akmal.
Namun skuad pimpinan Aidil Sharin mula goyah pada babak kedua apabila melakukan pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Ilham Amirullah bagi menggantikan Ifwat yang mengalami kecederaan.
Berdasarkan rekod 26 pertemuan, Kedah menang 16 perlawanan, kalah empat kali dan seri enam kali.
Rekod pertemuan di Likas juga menyaksikan Kedah menang tujuh kali, kalah tiga kali dan seri sekali.
Berikut adalah empat perkara menjadi fokus kekalahan Kedah kepada Sabah FC.
Kualiti Ilham
Tiga daripada gol Sabah FC sepatutnya boleh diselamatkan Ilham terutamanya jaringan sepakan percuma Tae-su.
Pergerakan refleks Ilham yang lambat menjatuhkan badan ternyata mengundang padah walaupun seminit sebelum itu dia menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan penalti bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Gol ketiga Sabah FC jaringan Amri juga wajar diselamatkan kerana rembatan dilepaskan dari sudut sempit dan sepatutnya Ilham menutup ruang untuk mengelakkan golnya dibolosi.
Jaringan ketiga Amri menerusi bola lambung juga boleh diselamatkan Ilham jika dia berada pada kedudukan yang betul.
Ronald tidak konsisten
Minggu lepas, Wanja Ronald Ngah menjadi wira buat Kedah dalam perlawanan Northen Derby untuk membantu Kedah FC menewaskan Penang FC 2-1 dengan menyumbang dua gol.
Itu merupakan gol ketiganya sepanjang lima perlawanan bersama Kedah pada musim ini, tetapi masih belum menepati statusnya sebagai penjaring terbanyak Liga Jordan.
Penyokong Kedah sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Ronald yang tidak konsisten dan mudah hilang bola kepada pihak lawan selain pergerakannya yang perlahan sebagai penyerang utama pasukan.
Dalam perlawanan menentang Sabah FC juga tidak banyak sumbangan yang dilakukan Ronald untuk menggugat pintu gol skuad pimpinan Datuk Ong Kim Swee selain gagal melepasi barisan pertahanan ampuh Sang Badak.
Marcel dalam poket Baddrol
Boleh dikatakan Dechi Marcel N'Guessan merupakan enjin dan jantung pasukan Kedah yang sentiasa mencatur pergerakan skuad Hijau Kuning dalam setiap perlawanan sebelum ini.
Tahap kecergasan dan hantarannya boleh membuka ruang kepada rakan lain mengatur gerakan, sekali gus menyumbang sesuatu yang boleh menghasilkan jaringan.
Tetapi dalam aksi menentang Sabah FC, Baddrol dilihat berjaya mengunci pergerakan Marcel daripada mengatur gerakan atau membuat hantaran bahaya.
Baddrol mungkin tidak dapat melukakan hati penyokong Kedah menerusi sepakan penaltinya, tetapi komitmennya mengawal pergerakan Marcel sudah cukup untuk membuatkan bekas pasukannya kempunan mengutip tiga mata penuh di Likas.
Dominasi Sang Badak
Berdasarkan statistik, skuad Kim Swee nampaknya sudah menemukan rentak dan keserasian dalam skuad emasnya.
Ini diterjemahkan dengan data yang menunjukkan skuad Sang Badak melakukan 20 percubaan dengan sembilan daripadanya percubaan tepat.
Malah dari segi penguasaan bola juga, Sabah FC mencapai 60 peratus kawalan dengan banyak melakukan hantaran pendek, tepat dan mudah untuk mengucarkacirkan pertahanan Kedah.
Kedah kini berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas lima perlawanan, terikat 12 mata dengan Johor Darul Ta'zim dan Sabah FC tetapi dipisahkan dengan beza jaringan gol selain Harimau Selatan masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram