Nasib kurang menyebelahi TFC II


  • Podium
  • Isnin, 25 Apr 2022

Mintah (kiri) diasak oleh pemain Selangor 2 ketika pertemuan kedua-dua pasukan pada Ahad. — Facebook TFC II

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun sekadar mengutip satu mata ketika menentang Selangor 2 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Ahad.

Menurutnya, nasib dilihat kurang menyebelahi pasukannya apabila beberapa percubaan cantik di babak pertama dan kedua gagal menghasilkan sebarang jaringan untuk skuad Penyu mencipta kemenangan di laman sendiri.

"Secara keseluruhan saya masih berpuas hati dengan persembahan anak buah yang bermain dalam disiplin satu pasukan untuk memburu kemenangan.

"Tetapi saya juga perlu akui bahawa banyak peluang yang kita dapat, gagal digunakan dengan baik menyebabkan kita sekadar pulang dengan satu mata di laman sendiri," katanya selepas aksi Liga Premier menentang Selangor 2 di SSMZA pada Ahad.

Turut berlangsung pada Ahad ialah upacara penyampaian Anugerah Kasut Emas Liga Premier oleh Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas selaku wakil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada penyerang import TFC ll, Jordan Mintah.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol ketika pertemuan Liga Premier pada Ahad. — Facebook TFC II

Dalam perkembangan lain, Badrul Afzan berkata, beliau bersetuju melepaskan empat pemainnya untuk menghadiri latihan pusat Sukan SEA Hanoi, Vietnam.

Menurut beliau walaupun berat hati, keputusan itu terpaksa dibuat demi kepentingan negara serta memberi peluang kepada pemain mudanya mewakili negara dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Empat pemain iaitu Nur Azfar Fikri Azhar, Muslihuddin Attiq Mat Zaid, Safwan Mazlan dan penjaga gol utama TFC ll, Syed Nasrulhaq Syed Bidin akan menghadiri latihan di Kelana Jaya pada 27 atau 28 April ini.

"Walaupun saya amat memerlukan khidmat mereka untuk kempen Liga Premier musim ini, saya ambil positif bahawa ini adalah peluang keemasan untuk pemain muda beraksi di pentas antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor 2, Rusdi Suparman berkata, beliau berpuas hati kerana misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari bumi Terengganu tercapai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram