Pindaan jadual Liga Super 'membunuh' TFC — Ab Rasid


  • Podium
  • Ahad, 24 Apr 2022

Pemain utama TFC seperti Kipre Thectche (tengah) antara yang boleh diturunkan menyertai latihan pusat Sukan SEA Hanoi pada 1 Mei ini. — Facebook

TERENGGANU Football Club (TFC) Sdn Bhd merayu supaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneliti semula pindaan terhadap jadual Liga Super yang disifatkan 'membunuh' pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Rasid Jusoh berkata, beliau memahami rombakan itu bertujuan memberi laluan kepada persiapan skuad Sukan SEA negara, namun terkilan dan kecewa kerana keputusan dibuat tanpa melalui perbincangan dengan TFC yang diibaratkan sebagai rakan kongsi MFL.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai alasan kukuh untuk tidak bersetuju dengan pindaan itu terutama dari aspek kepadatan jadual perlawanan yang akan menjejaskan prestasi pemain.

"Sebelum ini, kita dah lalui episod penundaan perlawanan akibat Covid-19 dan ia ternyata memberi kesan negatif kepada prestasi awal TFC selepas kalah dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Namun, selepas berhempas-pulas dalam empat perlawanan kami berjaya bina momentum yang baik. Saya bimbang jika dipinda lagi, perancangan latihan akan bercelaru dan mengakibatkan kegagalan kepada pasukan," katanya.

Selain itu, Ab Rasid berkata, rombakan itu turut memberi kesan kepada kedudukan kewangan pasukan yang telah membuat tempahan kapal terbang dan penginapan ke Sabah lebih awal sebagai langkah penjimatan.

Katanya, sebagai sebuah kelab profesional yang masih bertatih, kesemua perbelanjaan pasukan perlu dilakukan secara bijak dan berhemat bagi mengelak perkara tidak diingini di kemudian hari.

"Saya percaya Selangor FC juga terkesan dengan perkara ini kerana pindaan melibatkan dua pasukan sahaja. Saya harap perkara ini (pindaan) boleh dipertimbangkan lagi dan memohon MFL memberi sedikit kelonggaran untuk kami terus memperbaiki kedudukan dalam persada liga," katanya.

Ketika ditanya sama ada bersedia melepaskan sembilan pemainnya bagi menyertai latihan pusat Sukan SEA Hanoi pada 1 Mei ini, beliau berkata, TFC sedang berhadapan situasi kekurangan pemain disebabkan masalah kecederaan.

"Daripada 26 pemain TFC yang didaftarkan, hanya 16 yang boleh diturunkan kerana kecederaan, malah ia melibatkan pemain utama seperti Kipre Thectche, Mohd Faiz Nasir, Sharin Sapien dan Mohd Sharmiza Yusof," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram