Tewaskan Selangor, bintang import Terengganu tetap kena kecam


  • Podium
  • Sabtu, 23 Apr 2022

Pemain TFC meraikan jaringan Tchetche Kipre ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat. — TFC

TERENGGANU FC meneruskan momentum kemenangan dalam Liga Super apabila menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Selepas tewas dua perlawanan pembukaan Liga Super, anak buah Nafuzi Zain nampaknya semakin mendapat rentak dengan dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos.

Walaupun menang dua perlawanan berturut-turut, penyokong berpendapat, masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh skuad Sang Penyu itu bagi memastikan pasukan konsisten pada perlawanan berikutnya.

Sebilangan penyokong TFC meluahkan rungutan mereka di Facebook kelab itu mengatakan bahawa mereka tidak berkenan dengan persembahan pemain import dari Bahrain, Habib Haroon yang dilihat gagal mengawal bahagian tengah dengan baik.

"Harap Terengganu cari import DMF (pemain tengah bertahan) Asia atau Asean ketika transfer window nanti. Runsing tengok permainan Habib lepas empat permainan. First half berterabur pass. Empat game dah tengok Habib main begitu. Semalam second half okay sikit tapi still orang dah counter attack bawa bola ke depan, pass ke belakang semula.

Sedap lagi Zulasyraf main dari Habib. Tapi nak tak nak kena terima kita ada Habib saja. Tiada pilihan pemain dah. Import paling bagus ketika ini adalah (Manuel) Ott, rajin dia naik turun padahal import Asean saja," kata Syukur Saleh.

278492865_1447864818977528_4712678577132216364_n

Aksi Habib ketika menentang Selangor FC pada Jumaat. — TFC

Habib sebelum ini juga turut menjadi mangsa kecaman kerana persembahan yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Seorang lagi penyokong TFC, Wan Sofian Sofian Osman berkata, pasukan itu harus memperkemaskan lagi bahagian tengah terutamanya dengan menghasilkan hantaran berbahaya kepada barisan penyerang.

"Perkemaskan lagi bahagian tengah, striker pun macam tak fit mana. Bahagian pertahanan nampak semakin kemas.

"Puji Nafuzi masukkan pemain simpanan, boleh tengok ada perubahan gameplay.

"Hantaran ke belakang boleh buat, tapi kena tengok posisi lawan... kalau boleh bahagian tengah cuba buat hantaran maut," katanya.

TFC kini menghuni tangga ketujuh liga dengan enam mata selepas empat perlawanan manakala Selangor FC pula berada di tangga kelapan dengan lima mata.

Selepas ini, Sang Penyu bakal menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 29 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram