PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memuji semangat juang serta kerjasama tinggi yang ditunjukkan anak buahnya ketika aksi menentang Selangor FC pada malam Jumaat.
Menurut Nafuzi, beliau amat berpuas hati dengan peningkatan prestasi pemain terutama di bahagian pertahanan yang menjadi 'dilema' skuad Penyu selama ini.
Katanya, beliau juga bangga dan gembira kerana pemain muda telah membalas kepercayaan yang diberikan dengan mempamerkan prestasi cemerlang pada Jumaat, sekali gus membuktikan keupayaan mereka untuk layak beraksi di pentas Liga Super.
"Keseluruhan permainan saya amat berpuas hati kerana pemain TFC telah menunjukkan karakter masing-masing dari minit pertama permainan lagi.
"Malam ini (Jumaat) kita kehilangan ramai pemain akibat kecederaan, tetapi kita puas hati kerana dapat kutip tiga mata penuh," katanya selepas aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Jumaat.
TFC menumpaskan Selangor FC 2-0 hasil jaringan Faisal Abdul Halim dan kapten, Tchetche Kipre.
Kemenangan itu menyaksikan TFC berjaya naik ke tangga ketujuh Liga Super selepas mengumpul enam mata manakala Selangor FC turun ke tangga kelapan dengan lima mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram