PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United pada Sabtu.
Jurulatih kelahiran Terengganu itu berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri akhirnya tercapai.
Bagaimanapun katanya, masih banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah yang dilihat lambat membantu jentera serangan.
"Tahniah kepada pemain saya yang berusaha keras membuat kebangkitan semula selepas kalah 1-2 kepada pasukan PDRM FC tempoh hari.
"Walaupun sekadar menang 1-0, yang pentingnya tetap tiga mata berharga yang menentukan kedudukan di liga," katanya pada sidang media selepas aksi Liga Premier menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Gol tunggal TFC ll dijaringkan Jordan Mintah pada minit ke-45, sekali gus menjadikan skuad The Turtles kini menduduki tangga keempat liga di belakang Selangor ll dengan kutipan enam mata.
TFC II berada di tangga keempat Liga Premier. — Facebook TFC II
Sementara itu, jurulatih skuad Kijang Hijau, Syamsul Mohd Saad berkata, ketiadaan dua tonggak utama, Amidu Salifu dan Muhammad Haziq Subri di bahagian tengah merencatkan perancangan taktikal Kelantan United malam tadi.
Selain itu, faktor keletihan turut menyebabkan anak buahnya terpaksa bergelut untuk mencari kemenangan sepanjang 90 minit permainan.
"Salifu dan Haziq terpaksa direhatkan kerana cedera dan ini memberi impak besar kepada pasukan memandangkan mereka berdua ialah tonggak yang menghidupkan setiap perlawanan.
"Lagi pula, selepas perlawanan dengan Projek FAM-MSN di Kuala Lumpur Rabu lalu, kami terus ke sini (Kuala Terengganu). Jadi saya boleh kata 80 peratus pemain yang beraksi malam ini (Sabtu) bukan dalam keadaan kecergasan 100 peratus," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram