Sisi berbeza Mintah, akui hampir 'pegang senjata'


  • Podium
  • Ahad, 03 Apr 2022

MINTAH merupakan salah seorang pemain import yang menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M). — Facebook/TFC II

PEMENANG Kasut Emas Liga Premier musim lalu, Jordan Mintah antara pemain import di negara ini, bukan sahaja kerana pengaruhnya di atas padang tetapi juga perwatakan dan sifat berperikemanusiaan untuk menolong masyarakat tempatan kurang berkemampuan.

Di alam media sosial pula, Mintah mendapat jolokan ‘raja TikTok’ apabila menonjolkan sisi berbezanya dengan memuatnaik video gelagatnya yang mencuit hati serta menjadi usikan rakan pemain lain.

Bukan sahaja aktif di atas padang dan merakam video TikTok semata-mata, tetapi Mintah juga sentiasa aktif dalam aktiviti kebajikan untuk menolong individu yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada mereka.

Pemain Terengganu FC II (TFC II) itu mendedahkan, dia mula melakukan aktiviti kebajikan seawal 2015 dan memilih untuk meneruskannya kerana ia memberi satu kepuasan yang berbeza buat dirinya.

“Ini bukan perkara baharu buat saya kerana saya sudah melakukan sejak 2015, malah di Filipina dan negara saya (Ghana) juga turut melakukan perkara yang sama.

“Dari awal saya selalu mengingatkan diri bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini, malah keluarga saya juga sentiasa berpesan agar menjaga mereka yang memerlukan kerana mereka juga perlu pertolongan daripada kita semua.

“Setiap bulan saya akan asingkan 10 peratus daripada gaji saya untuk aktiviti ini (kebajikan) dan akan turun memberikan sumbangan ini jika berkesempatan.

“Apabila saya berada di rumah, saya sentiasa memikirkan nasib mereka ini. Ia juga membuatkan saya menjadi beremosi jika melihat ada orang yang tidak makan, tidak mempunyai tempat tinggal dan duit untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Saya juga sering fikirkan bagaimana mereka ini 'survive' setiap hari, jadi ini merupakan antara perkara yang menguatkan saya untuk masih menolong mereka sehingga ke hari ini,” katanya.

Musim lalu, Mintah meledak 16 gol dalam Liga Premier untuk merangkul Anugerah Kasut Emas bersama penyerang JDT II, Fernando Rodriguez.

Pemain yang berusia 27 tahun itu juga turut mendedahkan dia mungkin akan bergelar seorang askar jika minatnya untuk menjadi seorang pemain bola ditolak.

“Kalau saya bukan seorang pemain bola sepak, mungkin sekarang ini saya sudah menjadi seorang askar kerana ayah saya merupakan askar di Ghana, dan dua daripada keluarga kami juga telah memilih untuk mengikuti jejaknya.

“Saya beruntung kerana mempunyai keluarga yang menyokong minat saya kerana sebelum ini memang mereka ingin saya untuk menjadi seperti ayah.

“Tetapi saya menolak dan memberitahu keluarga yang saya sangat meminati dunia bola sepak, mereka (keluarga) antara orang penting yang membantu kejayaan saya sehingga hari ini," menurutnya.

Mengakui penyokong antara individu yang sangat dekat dengannya di Terengganu, Mintah juga ingin lebih fasih dalam loghat negeri berkenaan.

“Selalu mereka fikir yang orang luar tidak mesra jadi sebab itu mereka lebih takut untuk dekat dengan pemain import, jadi saya ingin bawa sesuatu yang berbeza daripada orang lain.

“Jujurnya saya sangat suka orang di sini, mereka menerima saya dengan baik dan membuatkan saya tidak merasa asing ketika berada jauh daripada keluarga.

“Saya masih cuba untuk belajar memahami loghat Terengganu kerana bagi saya ia dapat membuatkan saya lebih dekat dengan mereka jika dapat berkomunikasi dalam bahasa yang sama,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram