Nafuzi bangga, tapi tetap enggan lepaskan lima tonggak TFC sertai Sukan SEA


  • Podium
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Laos untuk acara bola sepak di Sukan SEA Hanoi.

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui terpaksa membuat keputusan sukar untuk tidak melepaskan lima pemainnya ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei 2022.

Menurut Nafuzi, beliau amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap anak buahnya, namun khidmat mereka lebih diperlukan oleh skuad Penyu buat masa ini.

Katanya, lima pemain yang dipanggil merupakan tonggak kesebelasan utama TFC dan ketiadaan mereka pastinya akan menjejaskan corak permainan yang telah dirancang rapi sebelum ini.

"Saya bukan jenis yang suka sekat pemain, malah saya bangga kerana pemain Terengganu diiktiraf bakatnya oleh negara dan berpeluang melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

"Tetapi buat masa ini, kedudukan TFC dalam liga masih belum kukuh, saya perlu khidmat mereka untuk mara dan kita tidak ada pemain yang cukup untuk ganti kekosongan mereka," katanya ketika ditemui di Kuala Nerus, Terengganu.

Lima pemain TFC yang dipanggil untuk menyertai latihan pusat Sukan SEA Hanoi di bawah kendalian ketua jurulatih Brad Maloney ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad, Syafiq Ismail, Hairiey Hakim dan penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim.

Menurut pengendali berusia 44 tahun itu, beliau juga telah berbincang dengan lima pemain tersebut sebelum membuat keputusan akhir dan kesemuanya akur serta memahami situasi berkenaan.

"Saya juga ada menghubungi ketua jurulatih negara, Maloney untuk membincangkan perkara itu dan beliau dapat menerima dengan baik dan memahami masalah yang kita hadapi," katanya.

Acara bola sepak di Sukan SEA Hanoi bakal bermula pada 6 Mei 2022 dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Laos. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nafuzi, sukan Sea, liga M, Brad Maloney, TFC