KRISIS tunggakan gaji kelab Liga Malaysia (Liga-M) dilihat serius sejak tahun lalu.
Bermula dengan Perak FC dan Sarawak United, kelab lain seperti Melaka United serta Kuala Lumpur City FC (KL City) turut terpalit kemelut sama.
Ada juga mendakwa Kelantan FC turut 'berhutang' dengan para pemain namun dinafikan oleh pihak pengurusan kelab tersebut.
Situasi tunggakan gaji bukan benda baharu dalam arena bola sepak tempatan namun perkara itu sedikit sebanyak merencatkan perjalanan segelintir kelab serta mengundang keresahan para penyokong yang selama ini berdiri di belakang pasukan kesayangan mereka.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) perlu melaksanakan sesuatu peraturan yang lebih tegas serta terjamin.
"Para pemain dan pegawai pasukan perlu diberi jaminan gaji bulanan menerusi sistem 'safe deposit' yang lebih menjaminkan daripada setiap pasukan dalam Liga-M," katanya kepada Majoriti.
Pekan sebelum ini mencadangkan agar penggantungan dilaksanakan terhadap kelab atau pasukan yang memperlekehkan isu gaji pemain.
Jelasnya, pandangan itu dilontarkan susulan kebimbangan musim ini mungkin keadaan akan bertambah teruk jika tiada langkah drastik diambil oleh FAM atau MFL.
"Nampaknya, kelonggaran dan tolak ansur yang diberikan oleh FAM dan MFL untuk pasukan masih bermasalah ini untuk beraksi dalam Liga-M nampaknya makin teruk.
"Makin banyak pasukan atau kelab dibebani hutang gaji pemain serta pelbagai hutang lain lagi.
"Ingatkan penswastaan pasukan akan membuatkan isu hutang gaji pemain dan pegawai ini sudah tidak timbul, rupa-rupanya 'ibarat tikus membaiki labu'.
"Pelabur baharu nampaknya indah khabar dari rupa. Ingatkan bakal jadi gunung, rupa-rupanya kini tinggal busut, bahkan bakal jadi padang jarak padang tekukur.
"Pasukan yang hebat musim lalu pun tiba-tiba jatuh miskin disebabkan pergolakan politik dalaman.
"Biasalah budaya kita ini, nak membina kejayaan itu bukan mudah tetapi nak menghancurkannya, mudah sahaja.
"Justeru, baru masuk bulan Mac, makin ramai pemain dan pegawai pasukan tidak bergaji. Makan pasirlah mereka nanti.
"Kasihan anak dan isteri pemain, jangan sampai ada yang putus harapan," ujarnya.
PERAK FC antara pasukan yang dibantu oleh Tunku Ismail. — Facebook Perak FC
Selain itu, Pekan turut mempersoalkan tindakan kelab-kelab bermasalah yang sering meminta bantuan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menyelesaikan krisis kewangan mereka.
"Tapi sampai bila? (meminta bantuan). Baik kita kaji semula tahap liga bola sepak kita ini. Tolak tepi JDT, Selangor FC, Terengganu FC (TFC) dan Sri Pahang FC.
"Agak-agak berapa pasukankah yang layak dan mampu kekal beraksi dalam Liga Super.
"Banyak pasukan, banyak masalah, banyak hutang, banyak karenah dan banyak sudu dari kuah.
"Nak gantung salah, nak hukum pun salah. Kalau digantung, makin banyak masalah, kalau dihukum juga masalah makin bertambah.
"Hutang tetap hutang dan tiada siapa pula nanti yang peduli untuk menyelesaikannya," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram