PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Ahad memaklumkan pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali sudah memberikan surat penjelasan tentang penolakan panggilan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, sebarang bentuk tindakan yang bakal dibuat terhadap Rizal masih dalam perbincangan.
Pada Sabtu, menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Rizal memuat naik foto bapanya sedang menjalani rawatan di hospital.
Hantaran itu sekali gus merungkai segala persoalan bermain di minda para penyokong bola sepak tempatan sejak beberapa hari lalu.
Namun ada juga pihak yang mempertikaikan profesionalisme Rizal dalam menjelaskan perkara sebenar kepada FAM selepas dia 'hilang' tanpa memberikan alasan kukuh.
Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, Rizal gagal untuk bertindak atau berfikir secara seorang pemain profesional.
"Mudah sahaja, kalau tidak berminat, ada masalah keluarga dan sebagainya, maklumkan sahaja kepada FAM secara rasmi.
"Pelbagai medium hari ini boleh digunakan. Jangan tunggu dah kecoh serta menjadi isu dalam media, baru nak memuat naik tentang hal keluarga.
"Ya, kita simpati dengan bapanya yang dikatakan sakit, tapi untuk memaklumkan kepada pasukannya iaitu Sabah FC dan FAM cuma perlukan seminit dua sahaja. Tak susah pun," katanya kepada Majoriti.
TINDAKAN terhadap Rizal akan diputuskan kelak oleh FAM. — Facebook FAM
Mengulas lanjut, Pekan kesal dengan sikap pemain bola sepak profesional negara ini terutamanya dalam memahami maksud profesionalisme.
"Sudah kerap juga saya menyentuh soal kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak di negara kita ini.
"Ternyata dalam pelbagai hal berkaitan kerjaya ini, mereka masih tidak faham atau ambil sambil lewa sahaja maksud profesional yang sebenarnya.
"Main bola sepak liga profesional, dapat gaji bulanan seperti pemain bola sepak profesional lain tetapi amat menyedihkan kerana sikap dan secara praktiknya, mereka masih lagi bersikap seperti pemain amatur.
"Sekali lagi, erti profesional itu dikaitkan dengan satu kerjaya atau pekerjaan yang khusus serta kemahiran dalam sesuatu bidang itu.
"Pengikat kepada sifat profesional itu adalah disiplin atau etika yang biasanya dipatuhi oleh golongan profesional ini.
"Justeru, kalau tidak dipraktikkan seperti maksud profesional, maknanya mereka itu mungkin bidangnya sahaja profesional namun belum layak dipanggil sebagai 'pro' atau 'pakar'," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram