'Tidak perlu ke luar negara jika sekadar pemanas bangku simpanan'


  • Podium
  • Jumaat, 18 Mac 2022

LUQMAN (kiri) dan Hadi (kanan) antara nama yang disebut gagal menepati jangkaan para peminat tempatan. — Facebook

ISU membabitkan prestasi pemain muda kebangsaan di luar negara menjadi perbualan para penyokong bola sepak tanah air.

Ia berikutan kenyataan dilontarkan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan prestasi pemain muda seperti Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh tidak memberangsangkan seperti diharapkan banyak pihak.

Kenyataan berkenaan ada benarnya kerana Luqman sehingga kini sukar menembusi kesebelasan utama kelab Belgium, KV Kortrijk manakala Hadi masih tidak mendapat tempat di kelab Liga Jepun Divisyen 3, Azul Claro.

Malahan, prestasi Luqman di pentas antarabangsa turut kurang menyerlah manakala Hadi gagal memikat hati pengendali skuad senior kebangsaan.

Menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, pemain negara tidak perlu ke kelab luar atau mana-mana sekali pun jika sekadar untuk memanaskan bangku simpanan.

"Saya masih menunggu pemain kita yang benar-benar terpilih bermain dengan kelab luar negara, dipilih secara merit kerana dia betul-betul hebat.

"Dia bukan sahaja ditawarkan kontrak tetapi juga mengisi posisi yang diperlukan oleh kelab berkenaan tanpa perlu menunggu berbulan-bulan atau bertahun untuk mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Kita tidak mahu pemilihan pemain negara yang ditawarkan kontrak itu dikaitkan dengan pelbagai sebab lain, berkaitan dengan pemilikan kelab atau pun untuk menjaga hubungan perniagaan antara negara.

"Akhirnya pemain kita pasti tertekan dengan persepsi peminat yang menaruh harapan tinggi untuk melihat mereka beraksi, sedangkan rasionalnya sehingga peringkat mengapa sukar sangat pemain itu mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Dalam perkaitan ini, kita perlu melihat kepada negara jiran iaitu Thailand.

"Walaupun seorang taikun perniagaannya adalah pemilik kelab Leicester City, tetapi tiada seorang pemain Thailand beraksi untuk kelab tersebut.

"Sebaliknya pemain hebat Thailand seperti Chanatip Songkrasin menyerlah bersama kelab Liga Jepun iaitu Hokkaido Consadole Sapporo dan kini, Kawasaki Frontale," katanya kepada Majoriti.

Tambah Pekan, selagi tahap bola sepak dan skuad kebangsaan negara tidak berada di tahap tertinggi serta dihormati seperti Korea dan Jepun, lebih baik pemain tempatan menjadi rebutan pasukan Thailand, Indonesia, Vietnam dan sebagainya.

"Selagi mereka tidak memandang pemain-pemain negara, faham-faham sendirilah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram