PRESTASI pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh yang bermain untuk kelab luar negara dilihat kurang memuaskan sehingga pengalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli menyatakan mereka tidak usah bermain di mana-mana kelab jika sekadar untuk memanaskan bangku simpanan.
Kenyataan dari Pekan Ramli tidak hanya teguran kosong apabila semua sedia maklum Luqman yang bermain untuk kelab Belgium, KV Kortrijk manakala Hadi bersama kelab Liga Jepun Divisyen 3, Azul Claro masih kurang mendapat minit permainan.
Rentetan isu ini, seorang pengguna Facebook yang juga pembaca Majoriti, Nazli Ibrahim Beduk Canang berpendapat terdapat dua faktor dua pemain muda masih sahaja diperam oleh kelab luar negara walaupun menyedari keduanya kurang berpostensi.
TANGKAP layar pendapat dari pengguna Facebook, Nazli Ibrahim Beduk Canang mengenai isu pemain tempatan yang bermain untuk kelab luar negara.
" Kalaulah Luqman Hakim dan Hadi Fayadh berhijrah ke kelab luar negara bukan kerana 'kabel' dan masih gagal meraih minit permainan rasanya dah lama masing-masing dihantar pulang.
"Faktor pemilik kelab dan perniagaan menyebabkan mereka terus diberi peluang demi peluang memburu minit permainan.
"Tidak keterlaluan kalau ada tanggapan bahawa kedua-dua pemain ini menyerlah bukanlah kerana prestasi atas padang tetapi sebenarnya disebabkan mereka bersama kelab luar negara walaupun realitinya melalui 'kabel'," katanya.
Terdahulu, pemilik Johor Darul Tazim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Luqman ditandatangani kelab berkenaan kerana menggunakan bantuan politik yang mana pemilik pasukan itu adalah usahawan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
Manakala, Hadi pula mendapat peluang bermain bersama pasukan Jepun menerusi usaha Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang menyatakan pemain itu adalah sebahagian dari aktiviti CSR syarikat tersebut di Malaysia.
Dalam pada itu, Nazli juga memberi contoh pemain JDT, Safawi Rashid yang dipendekkan tempoh pinjaman bersama kelab Portugal, Portimonense S.C dan pemain dari Indonesia, Abimanyu hanya tampil sekali sebagai pemain gantian sepanjang bersama JDT.
Kedua pemain itupun difahamkan bergelut bersaing bagi mendapatkan minit permainan.
"Tiada salahnya keputusan Abimanyu dan Safawi berkelana untuk mencuba nasib dengan kelab luar negara yang menjanjikan persaingan lebih kompetetif. Ia bagus sekurang-kurangnya dalam aspek menimba pengalaman.
"Keputusan untuk pulang awal sebelum kontrak dan tempoh pinjaman tamat juga betul. Kedua-dua keputusan itu betul.
"Luqman dan Hadi pun sepatutnya begitu. Tak perlu tunggu lama. Perlu letakkan tempoh untuk mencuba. Kena akui hakikatnya kadang-kala tidak semua yang dirancang menjadi. Mungkin ada perancangan lain lebih sesuai untuk mereka," katanya.
Malah, Nazli juga sempat menegur sebilangan warganet yang sering meletakkan harapan kepada dua pemain muda itu dan ada yang mengibaratkan mereka sebagai 'loser' jika pulang awal ke tanah air.
"Masalahnya netizen. Netizen juga ada tanggungjawab di sini. Meletakkan harapan menggunung ke atas bahu Luqman dan Hadi sangatlah tidak adil untuk mereka.
"Paling tidak berakal apabila sesetengah nitizen bersiap sedia menyambut kepulangan mereka dengan troll memualkan seperti mana dilalui Safawi ketika kembali ke pangkuan JDT.
"Tingkah laku seperti ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dalam diri Luqman dan Hadi bakal dianggap 'loser' sekiranya pulang awal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram