ARENA bola sepak tanah air kecoh seketika dengan tindakan pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang hanya berdiam diri tanpa memberikan alasan kukuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menolak panggilan menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan.
Segelintir peminat dilihat menyuarakan pandangan masing-masing di media sosial tentang tindakan pemain berusia 30 tahun itu.
Ada yang mempersoalkan tindakannya berdiam diri selama beberapa hari sebelum memaklumkan tentang kesihatan bapanya di Instagram pada Sabtu.
Ada juga peminat yang mahu semua pihak memahami situasi dialami oleh Rizal.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli menjelaskan, hukuman wajar dikenakan terhadap Rizal terutamanya apabila pasukan kebangsaan dikendalikan oleh jurulatih asing.
"Memalukan jika perkara negatif seperti ini berlaku tetapi tiada hukuman dikenakan dan pemain mudah sahaja dimaafkan, khususnya di bawah kendalian Kim Pan-gon.
"Ini belum lagi bab campur tangan pihak tertentu atau pemilik pasukan yang tidak menyokong pemainnya beraksi bersama pasukan kebangsaan seperti beberapa isu dibangkitkan oleh warganet sebelum ini.
"Bagi saya, tidak rugi pun hukuman dikenakan kepada mereka kerana jika sudah tiada jiwa untuk negara, lupakan sahaja, jangan dipaksa dan jangan simpati lagi.
"Ramai lagi yang sanggup 'patah kaki' untuk negara ini," katanya kepada Majoriti.
PELANTIKAN Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan seharusnya memberikan dimensi baharu kepada corak pengurusan bola sepak negara. — Facebook FAM
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar memaklumkan Rizal sudah menghantar surat penjelasan kepada badan induk bola sepak negara itu.
Ujar Mohd Saifuddin, tindakan selanjutnya bakal diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan kebangsaan.
Jelas Pekan lagi, para pemain tempatan dilihat seolah-olah mempersendakan FAM yang seperti amat bertoleransi dalam hal seumpama ini.
"Saya percaya toleransi FAM pun ada batasnya kerana simpati dengan kerjaya mereka nanti jika FAM terlalu tegas dan tidak berkompromi dalam hal ini.
"Nanti mereka juga yang meroyan ke sana ke mari.
"Kalau nak ikutkan, kita sudah banyak 'precedent' kes berhubung kegagalan pemain yang sengaja tidak melapor diri apabila dipanggil skuad kebangsaan.
"Ada yang sengaja memberikan pelbagai alasan dan seolah-olah tidak takut karier mereka sebagai pemain profesional itu terjejas nanti apabila digantung FAM serta dikenakan denda," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram