Format baharu Liga Super: 'Tak perlu terburu-buru, agar muafakat membawa berkat'


  • Podium
  • Selasa, 08 Mac 2022

PENSTRUKTURAN liga dan pembangunan akar umbi dibuat dengan lebih tersusun sebagai keutamaan dalam format baharu Liga Super Malaysia.

SUDAH kedengaran ura-ura bahawa Liga Malaysia (Liga M) akan kembali menggunakan format era 90-an yang mana hanya satu liga digunapakai oleh semua pasukan bola sepak di negara ini.

Rata-rata peminat sukan nombor satu tanah air itu mengibaratkan perancangan itu sebagai 'kitar semula' atau 'recycle' format yang sudah digunakan sebelum ini.

Ini bukan perkara yang menghairankan dalam kancah bola sepak negara yang berulang kali menukar format atau peraturan seperti syarat kemasukan pemain import, penggunaan jurulatih import dan pertukaran format pertandingan.

Tetapi dengan wujudnya saingan Liga Super Malaysia yang menyaksikan 18 buah pasukan bertanding dalam satu musim mulai tahun 2023, peminat menyifatkan langkah itu akan memberi peluang untuk pemain mendapat lebih banyak minit permainan.

Bagi penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, cadangan format baharu itu ada baik tetapi boleh nampak keburukannya jika tidak dilaksanakan secara tersusun.

Jelasnya, cadangan format baharu itu merupakan perkara positif tetapi peminat perlu melihatnya secara menyeluruh, bukan semata-mata satu aspek seperti mengumpul minit permainan atau perlawanan kepada pemain muda.

"Kita tidak boleh hanya melihat suatu aspek sahaja iaitu untuk memberi ruang lebih banyak kepada pemain muda untuk beraksi, atau untuk mendapatkan jumlah perlawanan atau minit bermain yang mencukupi setahun tetapi kualitinya masih ke laut.

"Mana satu keutamaan yang ingin kita laksanakan, banyak perlawanan atau banyak minit bermain tetapi kualiti macam tu juga, atau jumlah perlawanan biasa saja tetapi penampilan pemain lebih berkualiti," katanya kepada Majoriti.

Sehubungan itu, Pekan menyarankan agar penstrukturan liga dan pembangunan akar umbi dibuat dengan lebih tersusun sebagai keutamaan.

Ini katanya turut melibatkan penganjuran program pembangunan akar umbi dari peringkat sekolah, akademi bola sepak terpilih, mempelbagaikan program bakat bola sepak dengan anjuran lebih banyak pihak termasuk diuruskan oleh agensi kerajaan mahupun pihak swasta atau persendirian.

"(Tapi) banyak (program) pun tak guna kalau ada yang sering terputus di tengah jalan. Maka jika ianya tidak disepadukan, akan wujud suatu keadaan yang dipanggil 'missing link' seperti yang berlaku sekarang.

"Akhirnya kita baru menyedari bahawa apa yang kita lakukan hari ini rupanya tidak lengkap, seolah-olah ada yang melangkau atau 'skip' sesuatu proses dan akhirnya produk yang kita lahirkan ada kecacatan tertentu," jelasnya.

Pekan juga menyarankan agar Malaysia melihat kepada perancangan pembangunan bola sepak kepada pemain-pemain muda di negara serantau seperti Vietnam, Kemboja, Laos dan lain-lain yang sedang meningkat nai.

Katanya, ini kerana ada antara negara tersebut yang telahpun layak beraksi di Piala Dunia mengikut peringkat umur secara merit walaupun perjalanan liganya tidak sebagus Malaysia.

"Seperkara lagi, banyak pasukan kita berdepan masalah kantung pasukan. Dengan jumlah peruntukan yang ada sekarang pun sudah banyak masalah apatah lagi jika lebih banyak peruntukan diperlukan untuk kos 'travel' yang akan naik berlipat ganda terutama bagi pasukan yang terpaksa bermain di Sabah dan Sarawak atau pasukan dari Borneo yang terpaksa 'travel' lebih kerap ke semenanjung.

"Akhir sekali, ia berkaitan dengan soal 'relegation dan derelegation' kepada pasukan bawahan yang perlu diperkemaskan nanti termasuklah pembabitan pasukan yang baru beraksi dalam liga amatur M3 yang sudah pasti memerlukan 'transition process' yang lebih menyenangkan dengan berharap ada satu liga lagi untuk mereka sebelum layak beraksi di Liga Super.

"Apapun di suatu sudut pula saya melihat kehadiran format baharu ini akan memberi nilai tambah yang lebih tinggi dari sudut komersil. Justeru, rasanya tidak perlu terburu-buru dalam hal ini, agar muafakat membawa berkat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram