Format baharu Liga M tak jadikan liga kompetitif, hanya untungkan JDT


  • Podium
  • Rabu, 16 Mac 2022

PASUKAN elit seperti JDT dilihat mempunyai kelebihan yang ketara antaranya daripada segi dana. — JDT

PERLAKSANAAN format baharu Liga Malaysia (Liga M) yang disebut-sebut bakal diguna pakai tahun depan dilihat tidak akan menjadikan saingan liga lebih kompetitif.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, ia memandangkan jurang besar yang wujud antara kelab besar dan kelab kecil ketika ini yang jelas ketara.

"Sekarang kita melihat ada beberapa jurang yang jelas ketara. Pertama, kualiti pasukan Liga Super kita jauh lebih menonjol dengan pasukan yang beraksi dalam Liga Premier. Jarang-jarang sekali pasukan Liga Premier dapat menewaskan pasukan Liga Super.

"Kedua, terdapat jurang yang ketara antara pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Super. Kualiti pasukan elit seperti JDT dengan pasukan lain dari pelbagai aspek memang jelas (terdapat) jurang pemisah.

"Bahkan liga bagaikan tidak cukup kompetitif kerana sudah beberapa tahun JDT akan dinobatkan selaku juara liga walaupun belum berakhir," katanya kepada Majoriti.

Perubahan format itu akan menyaksikan saingan Liga Super bakal memiliki 18 buah pasukan bertanding dalam satu musim mulai tahun 2023.

Mengulas lanjut, menurut Pekan, antara cadangan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan tahap kompetitif liga adalah suntikan dana dari perkongsian hak siaran televisyen, keuntungan dari aspek penajaan, pungutan kutipan jualan tiket, 'merchandising' dan lain-lain perlu dikongsi bersama pasukan-pasukan yang bertanding.

Dengan ini, katanya, jurang perbezaan dapat dirapatkan kerana setiap pasukan mendapat dana untuk memantapkan pasukan.

Dalam pada itu, Pekan berkata, beliau bimbang terdapat kemungkinan liga bakal menjadi semakin kurang kompetitif dan jurang pemisah semakin besar disebabkan pelbagai masalah yang melanda pasukan-pasukan yang bertanding.

Ini katanya, disebabkan keperluan bajet yang semakin tinggi dan hanya memberi kelebihan kepada pasukan yang mampu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram